Home Buletin Semasa GURU MAUT KEMALANGAN BABIT EMPAT KENDERAAN

GURU MAUT KEMALANGAN BABIT EMPAT KENDERAAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TANAH MERAH: Seorang guru lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan tiga kereta di Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli, Kampung Jedok, di sini, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.45 petang melalui Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

Beliau berkata mangsa, Muhammad Syahmi Hasbullah, 31, yang memandu salah sebuah kereta terlibat, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 4.40 petang apabila sebuah lori yang dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli dipercayai bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan secara tiba-tiba. Perlanggaran hadapan tidak dapat dielakkan berikutan jarak yang terlalu dekat,”katanya dalam kenyataan semalam.

Jelasnya akibat pelanggaran tersebut, mangsa tercampak keluar dari kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Batu Gajah.

“Dalam kejadian sama, lori terbabit turut terbabas dan melanggar sebuah lagi kereta yang diletakkan di hadapan sebuah rumah berhampiran, manakala sebuah lagi kenderaan mengalami kerosakan ringan ketika cuba mengelak kemalangan tersebut.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,”katanya.

Justeri, beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan bagi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Tanah Merah atau mana-mana balai polis berhampiran.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here