Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedia mengalu-alukan syarikat penerbangan untuk memulakan penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata walaupun belum berstatus antarabangsa tetapi pihaknya tidak mengecualikan mana-mana syarikat tersebut untuk melakukan penerbangan di rantau Asia.
“Lapangan terbang ini walaupun bukan satu lapangan terbang antarabangsa, tetapi sebenarnya kalau ada mana-mana syarikat penerbangan yang ingin memulakan penerbangan antarabangsa tidak menjadi masalah.
“Ia boleh diadakan kerana ada kemudahan imigresen disediakan. Kalau ada penerbangan pergi ke Singapura atau ke Bangkok. Terpulang kepada syarikat-syarikat penerbangan. Jadi sekarang ini memang kapasiti sudah bertambah, jadi ada kemudahan yang lebih besar dan kita mengalu-alukan syarikat tersebut yang ingin memulakan laluan antarabangsa dari Kota Bharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Operasi Fasa 1
Projek Pembesaran & Menaiktaraf LTSIP, di sini, hari ini.

Menurutnya, mana-mana syarikat penerbangan boleh memohon melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memulakan laluan antarabangsa dari LTSIP ke luar negara.
Katanya keputusan mengadakan laluan antarbangsa bergantung kepada syarikat penerbangan berdasarkan kepada pertimbangan komersial.
“Jadi saya rasa memang sekarang ini Kelantan adalah tarikan pelancong, saya lihat di sini ramai pelancong asing, dan kalau ada mana-mana syarikat penerbangan nak gunakan kita alu-alukan,”katanya.
Terminal LTSIP fasa 1 yang beroperasi 1 Mei lalu mampu menampung 1.5 juta penumpang, manakala pembinaan fasa 2 pula dijangka mampu menampung kira-kira 4 juta penumpang.
Dalam perkembangan sama, Loke menjelaskan tiada masalah untuk LTSIP dinaik taraf menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa, tetapi usaha itu akan mengambil masa kerana terdapat beberapa kriteria tertentu yang perlu dipenuhi.
Tambahnya, beliau yakin projek naik taraf fasa 2 LTSIP dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada Januari tahun depan.
Sebelum ini, IMedikel TV melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk menambah 400 meter keluasan LTSIP, bagi menaiktarafnya sebagai lapangan terbang antarabangsa.
IMEDIKEL TV






