Home Sukan LEVERKUSEN SEDIA MUNCUL PASUKAN PERTAMA TANPA KALAH BUNDESLIGA

LEVERKUSEN SEDIA MUNCUL PASUKAN PERTAMA TANPA KALAH BUNDESLIGA

301
0

BOCHUM, Jerman: Juara Jerman, Bayer Leverkusen sedia muncul pasukan pertama dalam sejarah Bundesliga tidak kalah sepanjang musim, kata jurulatih Xabi Alonso selepas membenam VfL Bochum 5-0 awal pagi tadi.

Leverkusen yang memburu tiga kejuaraan mudah membenam Bochum, yang menyaksikan Felix Passlack dibuang padang pada minit ke-15, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam semua pertandingan musim ini kepada 50 perlawanan berturut-turut, dengan hanya berbaki satu perlawanan dalam Bundesliga.

Minggu lalu, pasukan kendalian Alonso mengatasi rekod tanpa kalah Benfica yang dicatat dari 1963 hingga 1965 selepas seri 2-2 dengan AS Roma yang membantu mereka mara ke final Liga Europa.

Kemenangan awal pagi tadi ke atas Bochum bermakna mereka muncul pasukan ketiga dalam sejarah Bundesliga untuk kekal tanpa kalah dalam setiap perlawanan di gelanggang lawan sepanjang musim.

“Selepas kad merah itu ia jelas satu perlawanan berbeza buat kami,” kata Alonso pada sidang akhbar.

“Saya amat berpuas hati dengan keputusan ini. Ia penting buat kami. Kini kami mempunyai sasaran mengagumkan Sabtu ini untuk menang kejuaraan tanpa sebarang kekalahan. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini.”

Leverkusen, yang berdepan Atalanta pada final Liga Europa dan menentang Kaiserslautern pada final Piala Jerman hujung bulan ini, melayan kunjungan Augsburg di laman sendiri pada perlawanan terakhir Bundesliga yang mana mereka turut menerima trofi liga buat julung kali.

“Untuk menerima trofi kejuaraan di Leverkusen pasti amat istimewa,” kata Alonso.

“Pemain fokus sepanjang musim jadi bagi mereka ia amat istimewa. Saya bangga dengan mereka.”

– REUTERS,BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here