Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf (PKZ) Pahang akan terus menjalinkan kerjasama strategik dengan badan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memperkukuhkan kutipan zakat.
Usaha itu bagi memberi manfaat kepada asnaf serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi ummah di Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif PKZ Pahang, Dr Mohd Azmi Othman berkata, kerjasama strategik dengan sektor korporat pemacu utama dalam memperkukuhkan ekosistem zakat bagi kepentingan golongan asnaf yang memerlukan.

“Kita sentiasa menghargai sokongan dan kerjasama diberikan syarikat korporat dan GLC yang terus komited menyokong pembangunan institusi zakat di negeri ini.
“Setiap tahun mereka tampil membayar zakat perniagaan kepada PKZ sebagai memenuhi tanggungjawab pada agama,” katanya pada Majlis Apresiasi Badan Korporat dan GLC Sempena Bulan Zakat dan Wakaf Negeri Pahang 2026 di House of Sanding, Kompleks Teruntum, di sini kelmarin.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Sektor Pengurusan dan Dasar, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Khairuddin Ismail.
Majlis turut diserikan dengan penyerahan zakat perniagaan dua syarikat korporat, Sun Life Malaysia Takaful Berhad berjumlah RM100,000 dan Takaful Ikhlas Family Berhad sebanyak RM55,354.
Turut diadakan penyampaian sumbangan bantuan zakat MUIP kepada dua penerima asnaf yang menerima pelbagai bentuk bantuan berupa bantuan bulanan tunai, baucar keperluan asas, bantuan pendidikan anak asnaf serta bantuan persediaan awal persekolahan.
Beliau berkata, bantuan tersebut membuktikan komitmen berterusan MUIP dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus dipelihara dan diperkasakan.
“Bagi pihak PKZ Pahang saya merakamkan penghargaan kepada pembayar zakat yang sentiasa memberi kepercayaan kepada PKZ dalam melaksanakan amanah kutipan zakat secara profesional, telus dan berintegriti,” katanya.
Kemuncak majlis penyampaian sijil apresiasi kepada 30 badan korporat, GLC dan rakan strategik sebagai pengiktirafan atas komitmen mereka dalam menunaikan tanggungjawab zakat serta menyokong usaha memperkasakan agenda zakat di Pahang.
“Penghargaan ini diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara PKZ Pahang dengan sektor korporat dalam meningkatkan kesedaran serta budaya berzakat di kalangan organisasi,”katanya.
IMedikel TV






