Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Sindiket penyeludupan minyak masak peket bersubsidi dikesan mengubah modus operandi apabila menggunakan sebuah rumah tidak berpenghuni yang terletak jauh dari kawasan sempadan sebagai lokasi transit bagi mengaburi pihak berkuasa.
Taktik baharu itu bagaimanapun berjaya dipatahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dalam serbuan kira-kira jam 6.30 pagi tadi hasil risikan selama tiga hari serta maklumat yang disalurkan orang awam.
Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, ketika serbuan dijalankan, beberapa individu sedang memunggah minyak masak peket bersubsidi daripada sebuah lori ke tiga kenderaan lain sebelum disyaki dibawa ke negara jiran.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, semua suspek bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.
“Bagaimanapun, seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori berjaya ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori itu membawa 600 kotak minyak masak peket bersubsidi seberat 10,200 kilogram yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang media, di lokasi serbuan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan minyak masak itu dipercayai dibawa dari Lembah Klang sebelum dijadikan transit di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Pauh Sembilan iaitu lebih 50 kilometer (km) ke kawasan pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, rumah berkenaan bukan dijadikan stor simpanan, sebaliknya lokasi pemunggahan sebelum minyak masak dipindahkan ke tiga kenderaan lain pada awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Ini perkembangan baharu dalam modus operandi sindiket. Sebelum ini, aktiviti pemindahan biasanya dilakukan di kawasan ‘hotspot’ berhampiran sempadan, namun kali ini mereka memilih lokasi yang jauh dari kawasan sempadan dan terlindung daripada pandangan orang ramai,” katanya.
Dalam operasi itu, KPDN turut menyita sebuah lori kargo tiga tan, sebuah kereta jenis Proton Waja dan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Pajero.
“Nilai rampasan minyak masak peket bersubsidi dianggarkan RM25,500, manakala nilai keseluruhan sitaan termasuk kenderaan berjumlah RM110,500.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki serta cuba menyeleweng barang kawalan bersubsidi tanpa kebenaran yang sah,”katanya.
Hanif Yusabra berkata, siasatan kini diperluaskan bagi mengenal pasti semua pihak yang terbabit termasuk rangkaian pembekal, pengangkut dan penerima barang kawalan berkenaan.
Beliau turut mendedahkan bahawa sindiket yang ditumpaskan itu tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan yang ditahan dalam operasi terdahulu.
“Dalam siasatan awal, pemandu mengakui mengetahui minyak masak yang dibawanya adalah barang bersubsidi.
“Suspek dipercayai menerima upah sebanyak RM300 untuk membawa kesemua minyak masak itu ke negeri ini,” katanya.
Mengulas statistik penguatkuasaan, beliau berkata, bermula Januari hingga Julai tahun ini, KPDN Kelantan merekodkan 104 kes membabitkan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi.
Dalam pada itu beliau berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak RM72,886 nilai minyak masak peket bersubsidi berjaya dirampas, manakala nilai keseluruhan rampasan mencecah RM178,836.
IMedikel TV






