Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Ketika kebanyakan peniaga makanan berdepan peningkatan kos bahan mentah, seorang peniaga apam balik di pekarangan pasaraya Kubang Kerian terus mengekalkan harga jualan RM3 sebungkus sejak beberapa tahun lalu sebagai usaha memastikan kuih tradisional itu kekal mampu dinikmati semua lapisan masyarakat.
Mahazan Mohamad, 50, berkata dia mula berniaga apam balik sejak 18 tahun lalu dan masih mengekalkan resipi serta cara penyediaan yang dipelajari daripada arwah gurunya di Wakaf Che Yeh.

“Saya belajar buat apam balik daripada arwah kawan (Rosli) di Wakaf Che Yeh dan selepas itu saya teruskan berniaga sendiri sehingga sekarang.
“Pada peringkat awal harga apam balik dijual RM2 sebungkus sebelum dinaikkan kepada RM2.50 dan kini RM3, namun masih berusaha mengekalkan harga itu walaupun kos tepung gandum, telur, gula, jagung dan kacang semakin meningkat,” katanya kepada IMedikel TV ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, dia menghasilkan antara 100 hingga 200 bungkus apam balik setiap hari bergantung kepada permintaan, dengan waktu jualan paling sibuk tidak menentu, sama ada pada waktu pagi mahupun tengah hari.
Mahazan berkata, perniagaan itu menjadi sumber rezeki utama keluarganya dan turut dibantu isterinya, Nur Azra Ariffin, 43, selain anak-anak terutama ketika cuti persekolahan.
Bapa kepada sembilan cahaya mata itu berkata, anak sulungnya kini berusia 21 tahun dan mereka sekeluarga sentiasa memberi sokongan bagi memastikan perniagaan dapat diteruskan.
Dia yang berniaga berhampiran kawasan Kubang Kerian berkata, strategi mengekalkan harga mampu dilakukan kerana mengharapkan jualan dalam kuantiti yang banyak.
“Bagi saya berniaga ini bukan semata-mata mencari keuntungan, ada juga unsur bersedekah dan asalkan pelanggan masih mampu membeli dan kami masih boleh berniaga, saya bersyukur,” katanya.
Dia berharap apam balik tradisional yang diusahakannya sejak hampir dua dekad itu terus mendapat sambutan masyarakat sekali gus memastikan kuih warisan itu kekal menjadi pilihan generasi akan datang.
IMedikel TV






