Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pengurusan Masjid Tepian Putra tekad mempertahankan gelaran Tandas Terbaik Rumah Ibadat Peringkat Kebangsaan yang dimenangi tahun lalu dengan terus mengekalkan standard kebersihan dan kemudahan bertaraf tinggi untuk keselesaan pengunjung.
Pengerusinya, Datuk Hamdan Hussain berkata, mempertahankan gelaran itu bukan tugas mudah, malah cabarannya dijangka lebih besar berbanding ketika meraih kemenangan buat kali pertama.
“Kejayaan tersebut didorong oleh komitmen tinggi pihak pengurusan dalam memastikan tahap kebersihan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Sebanyak 20 bilik tandas lelaki dan wanita serta dua bilik mandi dibersihkan antara tiga hingga empat kali sehari oleh lima petugas yang ditugaskan khusus bagi memastikan kebersihan sentiasa terpelihara,” katanya
ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi meningkatkan keselesaan pengguna termasuk pewangi, sabun, tisu, alat penimbang, selipar, bilik persalinan serta hiasan ringkas yang menceriakan suasana.

“Bukan sahaja kebersihan di dalam tandas diberi perhatian, malah kawasan luar dan landskap turut diselenggara secara berkala bagi memastikan persekitaran masjid sentiasa bersih, indah dan segar.
“Kami meneruskan pendekatan yang sama tahun ini dalam usaha mempertahankan kejayaan.
“Bukan mudah untuk kekal sebagai juara, namun kami akan terus berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.
Hamdan berkata, kejayaan di peringkat kebangsaan tahun lalu menjadi pembakar semangat kepada jawatankuasa masjid untuk terus meningkatkan kualiti pengurusan serta mengekalkan kecemerlangan pada masa hadapan.

Selain anugerah tandas terbaik rumah ibadat peringkat kebangsaan, Masjid Tepian Putra turut mencatat beberapa kejayaan lain sepanjang tahun lalu, termasuk muncul naib johan Anugerah Masjid Gemilang Negeri Pahang, menerima pengiktirafan tandas bertaraf lima bintang serta meraih tempat kedua dalam pertandingan perbarisan Hari Kebangsaan peringkat negeri.
Beliau turut memaklumkan bahawa sistem Kod Imbasan QR kebersihan yang diperkenalkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membolehkan pengguna menyalurkan aduan dengan segera sekiranya tidak berpuas hati terhadap tahap kebersihan tandas.
Menurutnya, kejayaan yang diraih selama ini juga hasil kerjasama erat ahli jawatankuasa, pentadbiran, pengurusan, duta dan sukarelawan masjid yang komited dalam memastikan setiap aspek penyelenggaraan berada pada tahap terbaik.
“Saya berharap kejayaan Masjid Tepian Putra menjadi contoh kepada masjid lain di seluruh negara untuk terus memberi perhatian terhadap kebersihan tandas kerana ia mencerminkan imej Islam yang mementingkan kebersihan.
“Usaha ini juga selari dengan aspirasi kerajaan yang mahu kebersihan tandas menjadi antara elemen penting dalam membentuk imej positif Malaysia, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
IMedikel TV






