KUALA LUMPUR: Kolaborasi strategik antara dua syarikat rakaman atau label terkemuka, Alternate Records & Talents dan Universal Music Malaysia berpotensi membuka peluang baharu untuk artis tempatan mengembangkan pengaruh muzik di peringkat domestik, serantau dan global.
Menjanjikan anjakan paradigma dalam industri muzik tempatan, kerjasama ini menyatukan kepakaran inovatif dan kreatif dari Alternate Records & Talents dengan rangkaian antarabangsa Universal Music Malaysia.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata kerjasama itu penting untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dan memberi variasi dalam industri muzik tanah air.
“Kami berpendapat perlu bekerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya untuk membina sebuah ‘rumah’ kepada bakat baharu.
“Sebagai syarikat rakaman antarabangsa, kami sentiasa percaya kerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang sukses seperti Alternate Records & Talents adalah penting bagi mencungkil bakat baharu agar kepelbagaian genre muzik dapat dihasilkan.
“Selain itu, ini langkah yang penting dalam mengembangkan industri muzik tanah air dan pada masa sama, penuhi cita rasa penggemar muzik melalui gabungan kepakaran dari dua syarikat rakaman berbeza.
“Menerusi gabungan kepakaran kedua-dua belah pihak, kami percaya kerjasama ini bakal meningkatkan lagi keupayaan dalam memahami selera tempatan dan mengukuhkan lagi komitmen dalam menggalakkan inovasi serta kepelbagaian dalam industri muzik.
“Bagi kami, tidak semestinya mengenai dari mana asal artis terbabit. Apa yang lebih penting adalah jika muzik benar-benar berhubung dengan pendengar dan sesuai dengan visi yang kita cuba bina bersama,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Alternate Records & Talents X Universal Music Malaysia di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Alternate Records & Talents diwakili Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Muzik dan Kandungan Rancangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN), Shahila Harun Shah.
Lim turut menyifatkan keputusan untuk bekerjasama dengan Alternate Records & Talents adalah tepat berdasarkan portfolio cemerlang organisasi itu dalam pasaran muzik masa kini.
“Alternate Records & Talents berjaya mencungkil bakat dan menghasilkan beberapa artis, lagu dan runut bunyi yang menonjol dalam pasaran semasa.
“Pengumuman kerjasama dengan Alternate Records & Talents hanyalah langkah pertama kedua-dua syarikat rakaman muzik untuk berganding bahu mengembangkan lebih ramai bakat hebat untuk industri muzik Malaysia,” katanya.
Antara artis yang sedang dan bakal memulakan projek kerjasama itu adalah Marsha Milan, Rahmad Mega, Puteri Khareeza, Sonaone, Ernie Zakri, Bella Astillah dan Ezra Kairo.
“Ini adalah antara beberapa senarai artis yang sudah dan akan bekerja rapat bersama dengan Alternate Records & Talents.
“Kami sangat teruja untuk terus bekerjasama dengan mereka dalam lebih banyak projek yang akan datang,” katanya.
Shahila positif kolaborasi dan pertukaran idea antara dua syarikat dapat memberi sinergi yang unik dan membolehkan kepelbagaian budaya dalam muzik Malaysia terus berkembang.
“Kerjasama terjalin ini adalah langkah strategik untuk meluaskan pengaruh artis tempatan. Dengan sokongan Universal Music Malaysia, kami yakin dapat menghasilkan karya yang bukan sahaja berkualiti tinggi, malah mampu menembusi pasaran muzik.
“Kami masing-masing ada barisan artis berbakat dan seharusnya kami akan beri sokongan penuh daripada segi promosi, produksi dan pengedaran.
“Ini adalah permulaan era baharu dalam industri muzik Malaysia. Kolaborasi ini bukan sahaja memberi peluang kepada artis sedia ada tetapi juga membuka pintu kepada bakat baharu yang mencari platform untuk menonjolkan potensi mereka.
“Selain itu, usaha sama ini akan memfokuskan kepada pengeluaran muzik yang lebih berani, segar dan relevan dengan kehendak pasaran semasa,” katanya. – BH Online –
IMedikelTV






