Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan penjualan saham dan judi dalam talian membabitkan warga asing tumpas selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di 17 kediaman mewah di Kuchai Lama, di sini, pada Khamis.
Hasil serbuan kira-kira jam 11.30 pagi di kediaman itu, pihak imigresen menahan 46 warga asing termasuk 14 lelaki China, 15 lelaki dan empat wanita Indonesia, satu lelaki dan dua wanita Myanmar, enam wanita Thailand serta dua wanita Laos dan dua lelaki Bangladesh dipercayai ahli sindiket tersebut.
Kesemua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 23 hingga 54 tahun.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan berkata, ahli sindiket itu disyaki menjalankan aktiviti memperdayakan mangsa dengan tawaran penjualan saham, barangan dan hartanah secara dalam talian yang tidak wujud menggunakan aplikasi seperti Facebook. TikTok, WeChat, WhatsApp dan Telegram.
Selain tangkapan, JIM turut merampas dua unit Rack Server, empat unit komputer riba, 88 unit telefon bimbit, tiga router, empat modem dan 26 keping simkad serta wang tunai berjumlah RM100,000.
“Siasatan mendapati sindiket ini turut menawarkan perkhidmatan judi dalam talian dan Love-Scam yang tidak wujud dan mengiklankan tawaran mereka melalui nombor telefon pelanggan atau mangsa yang diperolehi secara rawak.
“Hasil keuntungan yang diperoleh sindiket ini dianggarkan berjumlah RM100,000 hingga RM150,000 sehari dan anggota sindiket itu menerima upah sekitar RM 2,500 hingga RM 3,500 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal premis tersebut digunakan sebagai pusat panggilan bagi menghubungi pelanggan untuk menawarkan pembelian emas, hartanah, kapal mewah, pelaburan saham dan mata wang asing.
Jelasnya, pusat panggilan itu bukan sahaja menyasarkan mangsa tempatan tetapi turut menjangkau pelanggan dari negara luar terutamanya dari negara mereka sendiri.
IMedikel TV






