WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam serangan udara oleh junta tentera Myanmar yang menyasarkan penunjuk perasaan di wilayah Sagaing, Isnin lalu.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, serangan kejam itu menggunakan paramotor yang menggugurkan bahan letupan ke arah orang ramai yang sedang berhimpun untuk satu acara perayaan.
Seorang saksi iaitu penunjuk perasaan berusia 30 tahun, menceritakan detik cemas itu yang bermula apabila dia terdengar bunyi bilah kipas yang kuat membelah udara.
Beberapa minit kemudian, letupan berlaku menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut.
“Saya tercampak,” katanya yang meminta namanya dirahsiakan kerana bimbang menjadi sasaran balas dendam junta.
“Pada mulanya, saya sangka seluruh bahagian bawah badan saya sudah putus. Saya sentuh dan baru sedar kaki saya masih ada,” katanya menceritakan semula pengalaman mengerikan itu.
Angka kematian itu disahkan oleh pelbagai sumber termasuk saksi di lokasi, Amnesty International, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan kumpulan penentang bersenjata tempatan.
Insiden itu mendapat kecaman antarabangsa dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menyatakan pihaknya amat terganggu dengan laporan serangan berkenaan.
“Kami menggesa rejim tentera untuk menghentikan keganasan dan pengeboman terhadap orang awam serta membebaskan semua tahanan yang ditahan secara tidak adil,” kata jurucakap jabatan itu.
Ini insiden terbaharu yang membuktikan tentera Myanmar semakin kerap menggunakan senjata udara seperti paramotor, pesawat dan dron dalam perang saudara yang berlarutan sejak rampasan kuasa pada 2021.
Menurut data, junta sudah melancarkan 1,134 serangan udara antara Januari hingga Mei tahun ini, angka yang jauh lebih tinggi berbanding hanya 197 serangan pada 2023.
Bagaimanapun, jurucakap junta Myanmar tidak menjawab panggilan untuk memberi sebarang komen mengenai serangan itu. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






