Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: Di sebalik kelunakan suara Tok Dalang dan bayang watak yang menari di sebalik layar putih, siapa sangka seni wayang kulit ini masih teguh dipertahankan seorang lelaki warga emas berketurunan Cina Peranakan Kelantan.
Fasih berdialek Kelantan serta minat mendalam dalam seni wayang kulit yang dahulunya dimonopoli kaum Melayu di negeri ini, membuatkan seni itu perlu dipelihara bagi menghidupkannya kembali walaupun dunia sudah berubah mengikut peredaran waktu.
Eyohock Seng, 70, atau mesra disapa Pak Cu, dari Kampung Pasir Parit, Chetok, ketika ditemui Kru I Medikel TV berkata, dia tetap setia menghidupkan seni warisan Melayu itu walaupun sedar ia semakin dilupakan terutama anak muda pewaris bangsa dan budaya.
“Kita risau suatu hari nanti wayang kulit akan pupus, sayang kalau ia hilang begitu sahaja, seumpama ‘patah tidak tumbuh, hilang tidak berganti’.
“Sebab itu saya cuba sesuaikan patung dan cerita mengikut zaman, supaya generasi kini lebih faham dan tertarik untuk menontonnya,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di Muzium Khazanah Seni & Budaya di Kampung Pasir Parit Chekok, semalam.

Menurutnya, minat terhadap wayang kulit itu sering mengundang rasa hairan bagi orang ramai, namun dia menganggap ia sebagai satu keunikan kerana tidak ramai kaum Cina yang ingin mendalami seni tradisi Melayu itu.
Pak Cu mula berjinak-jinak dengan wayang kulit sejak usia sembilan tahun selepas sering menonton persembahan itu yang pada awalnya dimonopoli kaum Melayu.
Katanya pada usia 16 tahun, dia sudah menjadi Tok Dalang kerana sudah mahir meniru pelbagai jenis nada suara.

“Mula-mula kita kena belajar main alat muzik dulu, kalau nak jadi Tok Dalang, perlu mahir sekurang-kurangnya 10 nada suara-suara raja, perempuan, hulubalang, binatang dan lain-lain.
“Wayang kulit ini bukan sekadar hiburan, ia ada nasihat, nilai moral, sejarah dan mesej berguna untuk generasi muda,” ujarnya.
Dia turut berbangga kerana minatnya kini diwarisi oleh cucu lelakinya yang berumur 14 tahun, namun sudah menunjukkan potensi besar sebagai pelapis Tok Dalang.
Bagi menarik minat penonton masa kini, Pak Cu turut memodenkan persembahan dengan memasukkan elemen lagu Hindustan, dangdut dan juga unsur Mak Yong.
Jelasnya, antara watak patung asal yang tidak boleh diubah nama termasuk Hanuman Kera Putih, Hanuman Ikan, Seri Rama, Laksamana, Siti Dewi, Pak Dogol, Wak Long, Wok Yoh, Samad, Saed, Pohon Beringin, Bentara Guru dan Raksasa Bota Mas Raja Rawana.
“Saya menyeru anak-anak muda untuk belajar dan kenali wayang kulit, ia bukan benda yang melalaikan, sebaliknya sarat dengan mesej, cerita lucu, sejarah dan nyanyian.
“Kalau kita tak teruskan, ia sangat rugi, dan siapa lagi yang akan mewarisinya” katanya.
IMedikel TV






