Home Luar Negara SERANGAN HOUTHI SASAR KEMUDAHAN MINYAK ARAB SAUDI

SERANGAN HOUTHI SASAR KEMUDAHAN MINYAK ARAB SAUDI

SANAA: Pemberontak Houthi Yaman yang disokong Iran berkata, mereka melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap kemudahan minyak Arab Saudi pada Sabtu, ketika pertempuran antara sekutu serantau Amerika Syarikat (AS) dan Iran semakin sengit di barisan hadapan baharu.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, dalam satu kenyataan video, jurucakap tentera, Yahya Saree berkata, pihaknya menyasarkan tapak yang dikendalikan oleh gergasi minyak Saudi Aramco di Jizan dan Yanbu, mengancam untuk meluaskan tindak balas kumpulan jika diserang oleh negara monarki di Teluk itu.

Terdahulu, media pemberontak berkata, serangan ke atas Jizan mencetuskan kebakaran. Satu video yang tersebar di media sosial, dan disahkan oleh AFP, menunjukkan awan gelap naik di atas kilang penapisan milik Aramco di bandar itu.

Arab Saudi tidak memberi komen langsung mengenai serangan itu tetapi pertahanan awam kerajaan mengeluarkan amaran untuk Jizan, di pantai barat daya kerajaan, serta di Yanbu di utara.

Sebuah unit pertahanan dari darat ke udara dikendalikan oleh kakitangan Greece di Arab Saudi menjatuhkan dua peluru berpandu balistik dan sebuah dron yang dilancarkan dari Yaman yang menyasarkan Yanbu pada pagi Sabtu, kata pejabat akhbar tentera udara Greece. 

Kumpulan yang disokong Iran itu menuduh sekutu AS, Arab Saudi, melakukan “peningkatan berbahaya” selepas Riyadh menyerang sasaran Houthi di Yaman pada Jumaat. 

Sumber keselamatan Yaman memberitahu AFP bahawa pangkalan tentera laut di bandar pelabuhan Hodeida dan sebuah kem tentera di Pulau Kamaran adalah antara sasaran Arab Saudi.

Pertukaran tembakan yang diperbaharui antara sekutu AS dan Iran menandakan kemunculan barisan hadapan baharu dalam perang Timur Tengah susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran pada akhir Februari.

Houthi berperang dengan kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan disokong oleh Arab Saudi sejak 2015, dalam konflik dahsyat yang membunuh ratusan ribu orang dan mencetuskan krisis kemanusiaan yang besar.

Bagaimanapun, pertempuran di negara Semenanjung Arab yang dilanda kemiskinan itu sebahagian besarnya terhenti sejak gencatan senjata yang dirundingkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022.

Minggu lalu, Houthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, dan menyerang kapal tangki negara berkenaan.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan bahawa Tehran tidak boleh dipersalahkan atas situasi itu, dan menawarkan untuk membantu memulakan dialog antara Houthi dan Arab Saudi, dengan alasan bahawa “tiada penyelesaian ketenteraan untuk isu ini”.

Ancaman terhadap perkapalan datang selari dengan sekatan Iran terhadap Selat Hormuz, yang menjadi titik pergolakan utama antara Tehran dan Washington di tengah-tengah permusuhan baharu antara kedua-dua pihak.-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here