Home Buletin Semasa SEMANGAT KEMERDEKAAN SATUKAN KOMUNITI TAMAN MEGAH RIA DALAM SUASANA MUHIBAH

SEMANGAT KEMERDEKAAN SATUKAN KOMUNITI TAMAN MEGAH RIA DALAM SUASANA MUHIBAH

156
0

Oleh: Roszaidi Ramlee

PASIR GUDANG: Semangat kemerdekaan dan cintakan negara jelas terpancar di wajah setiap penduduk Taman Megah Ria, Masai, di sini, apabila meraikan Sambutan Bulan Kemerdekaan dalam sebuah program komuniti yang meriah dan penuh bermakna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib dalam ucapan berkata majlis itu berjaya menarik penyertaan penduduk setempat yang terdiri dari pelbagai lapisan bangsa, agama, dan budaya, yang semuanya bersatu hati menjayakan setiap aktiviti yang dirancang.

“Saya amat berbangga dengan inisiatif yang ditunjukkan oleh Komuniti Taman Megah Ria. Program seperti inilah yang menjadi tapak semaian perpaduan negara. Semangat muhibah dan kerjasama yang ditunjukkan hari ini adalah cerminan sebenar wajah Malaysia.

“Pihak kami akan sentiasa menyokong usaha murni dari peringkat akar umbi seperti ini yang membina jambatan perpaduan dan menzahirkan semangat patriotisme secara praktikal,” katanya dalam ucapan.

Hadir sama Ketua Komuniti Penduduk Taman Megah Ria, Roszaidi Ramlee.

Beliau berkata semangat kebersamaan bermula seawal pagi dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk, diikuti dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan pertandingan hiasan kraf payung bagi golongan dewasa.

“Semua aktiviti ini jelas mempamerkan keterlibatan menyeluruh daripada segenap lapisan masyarakat.

“Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang menjadi bukti keutuhan perpaduan masyarakat berbilang kaum di kawasan ini,”katanya.

Sementara itu Roszaidi  berkata penganjuran program tersebut adalah untuk menterjemahkan semangat kemerdekaan melalui aktiviti kemasyarakatan.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur melihat sambutan yang begitu menggalakkan. Matlamat utama kami adalah untuk menyemarakkan rasa cinta kepada negara sambil mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama jiran, tanpa mengira kaum dan agama.

“Apabila kita lihat anak-anak gembira mewarna, dan kita dapat bersama-sama menziarahi warga emas kita, itulah sebenarnya roh kemerdekaan yang ingin kita terapkan,”katanya.

Katanya 10 warga emas dan penduduk yang uzur di sekitar taman diziarahi menjadi kemuncak program tersebut adalah inisiatif Ziarah Kasih Merdeka.

“Inisiatif murni ini membuktikan bahawa erti kemerdekaan bukan sahaja diraikan dengan kegembiraan, tetapi juga dihayati dengan semangat keprihatinan dan kasih sayang sesama insan,”katanya.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Masai, serta Menteri Pertahanan Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Khaled Nordin.

Secara keseluruhannya, Sambutan Bulan Kemerdekaan di Taman Megah Ria ini bukan sekadar sebuah acara, tetapi ia adalah manifestasi semangat perpaduan, keharmonian, dan patriotisme yang mendalam, membuktikan bahawa perpaduan di peringkat akar umbi adalah tunjang kepada kestabilan negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here