HARRISON, AMERIKA SYARIKAT: Scotland menghangatkan persiapan menjelang kemunculan semula mereka di Piala Dunia dengan membelasah Bolivia 4-0 dalam aksi persahabatan di New Jersey, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Lawrence Shankland, Scott McTominay dan Che Adams yang meledak dua gol menjadi watak utama kemenangan bergaya anak buah Steve Clarke itu.
Scotland hanya tinggal seminggu sebelum turun beraksi dalam penampilan pertama mereka di Piala Dunia selepas 28 tahun apabila menentang Haiti dalam aksi pembukaan.
Clarke menurunkan barisan hampir terbaik dan memperoleh persembahan serta keputusan yang pasti meningkatkan keyakinan pasukannya.
Shankland mengukuhkan peluang untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Haiti apabila menjaringkan gol ketiganya dalam dua perlawanan terakhir menerusi tandukan hasil hantaran Andy Robertson seawal minit kelima.
Pemain baharu Rangers itu kemudian mencipta peluang buat McTominay yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk menggandakan kelebihan Scotland.
Pemain Bournemouth, Ben Gannon Doak mempamerkan kepantasan luar biasa apabila dua kali mencipta peluang untuk penyerang Torino, Adams menyudahkan percubaan dari jarak dekat sebelum tamat babak pertama.
Keputusan itu memberikan suntikan semangat terbaik buat Scotland menjelang kempen Piala Dunia.
Scotland diundi dalam Kumpulan C bersama Maghribi dan Brazil selain Haiti.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






