TEHRAN: Iran melancarkan beberapa peluru berpandu ke arah sekutu Amerika Syarikat (AS), Bahrain dan Kuwait, pada Sabtu susulan serangan baharu Washington.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, tindakan itu mencetuskan kemarahan negara Teluk berkenaan dan menambah tekanan terhadap gencatan senjata yang rapuh.
Beberapa minggu rundingan tidak langsung yang dicemari tindakan berbalas ancaman dan pertukaran serangan secara berkala gagal menghasilkan perjanjian untuk menamatkan perang di Asia Barat atau membuka semula Selat Hormuz, laluan strategik bagi penghantaran minyak dan gas Teluk.
Komando Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan lewat Jumaat bahawa pasukannya menembak jatuh empat dron serangan Iran yang dilancarkan ke arah selat itu sebelum melancarkan serangan ke atas tapak radar pemantauan pantai Iran.
Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada Sabtu berkata mereka bertindak balas dengan menyasarkan ‘pangkalan musuh di rantau ini’ menggunakan peluru berpandu.
CENTCOM berkata Iran melancarkan tujuh peluru berpandu balistik ke arah Bahrain dan Kuwait, dengan enam berjaya dipintas manakala satu lagi gagal mencapai sasaran.
Bahrain, yang menjadi lokasi ibu pejabat Armada Kelima AS, mengecam serangan terbaharu itu sebagai ‘pencerobohan terang-terangan’, manakala Kuwait menyifatkannya sebagai ‘peningkatan ketegangan yang berbahaya’.
Di Manama, ibu negara Bahrain, wartawan AFP mendengar tiga letupan ketika siren amaran serangan udara dibunyikan.
Kementerian Luar Iran mengecam serangan terbaharu AS sebagai pencabulan yang ‘jelas dan terang-terangan’, selain mengutuk ‘tindakan bermusuhan dan provokatif’ Washington.
Usaha untuk menjadikan gencatan senjata itu sebagai penyelesaian berkekalan berulang kali menemui jalan buntu, manakala konflik berkenaan terus menggugat pasaran global dan meningkatkan tekanan terhadap Presiden AS, Donald Trump, menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
“Rundingan kini buntu dan Trump perlu memecahkan kebuntuan ini,” kata penasihat ketenteraan Pemimpin Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei, kepada CNN sambil menggesa pembebasan kira-kira AS$24 bilion (RM102 bilion) aset Iran yang dibekukan.
Washington sebaliknya mungkin berusaha menggunakan dana itu bagi membiayai kerosakan yang berpunca daripada serangan Iran ke atas sekutu negara Teluk.
Perbendaharaan AS akan menggunakan semua instrumen yang ada bagi membolehkan aset Iran disalurkan kepada sekutu negara Teluk.
Ini untuk menyokong usaha pembinaan semula dan kerja pembaikan bagi sebarang kerosakan pada masa depan yang disebabkan oleh Iran. -AFP, BH Online-
IMedikel TV






