HANGZHOU: Kontinjen negara pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022 semakin menghampiri sasaran 35 pingat apabila membolot tiga emas, lima perak dan empat gangsa selepas berakhirnya saingan hari ketiga temasya itu semalam.
Pencapaian itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pungutan pingat kontinjen negara kepada tujuh emas, 11 perak dan 11 gangsa, untuk membolehkan mereka kekal menghuni kedudukan kelapan selain memerlukan hanya enam lagi pingat bagi mencapai sasaran.
Memetik laporan menerusi berita harian,Pingat emas kelima semalam disumbang atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin dalam acara 72 kilogram selepas melakukan angkatan seberat 230kg yang juga rekod baharu temasya.
Kem olahraga turut tidak mengecewakan selepas menyumbang satu emas dan satu gangsa di Stadium Pusat Sukan Huang Long.
Emas keenam kontinjen disumbang atlet olahraga Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi dalam acara 400 meter lelaki T20 (kecacatan intelektual) sementara gangsa menerusi Ahmad Fizzi Rosni dalam acara 400m lelaki T36 (kecacatan fizikal).

Kem boccia pula menyumbang satu emas dan dua perak, menerusi Noor Askuzaimey Mat Salim dalam acara individu wanita BC4 serta masing-masing Angeline Melissa Lawas dalam acara individu wanita BC1 dan Lee Chee Hoong dalam acara individu lelaki BC2.
Sukan berbasikal trek tidak ketinggalan menghadirkan satu perak dan satu gangsa masing-masing menerusi Muhammad Adi Raimie Amizazahan dalam acara 3,000m kejar mengejar individu lelaki C3 dan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dalam acara 3,000m kejar mengejar individu lelaki C1 di Velodrom Chun’ An Jieshou.
Di Arena Sukan Akuatik, atlet renang negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli gagal menukar warna pingat perak acara 100m gaya bebas S5 (kecacatan fizikal) pada edisi lalu apabila sekadar meraih gangsa.
Sementara di Hangzhou Wenhui School Lawn Bowl Green, dua perak dan satu gangsa diraih kem boling padang masing-masing menerusi Muhamad Ayub Mohd dalam acara perseorangan lelaki B2 dan Haszelly Elias dalam acara perseorangan lelaki B7 serta Jariah Zakaria menerusi acara perseorangan wanita B7.
Tuan rumah China kekal mendahului carta pungutan pingat dengan 118 emas, 96 perak dan 86 gangsa diikuti Iran (24-30-19) dan Jepun (20-21-28). – BERNAMA-BH ONLINE-
Imedikel TV






