PARIS: Kylian Mbappe, Randal Kolo Muani dan Lee Kang In menyumbang gol membantu Paris Saint-Germain (PSG) kembali melakar kemenangan dalam Liga Juara-Juara apabila mengatasi AC Milan 3-0 di halaman sendiri awal pagi tadi.
PGS teruja untuk bangkit daripada kekalahan 4-1 di gelanggang lawan menentang Newcastle United tiga minggu lalu dan mereka jelas terlalu gagah buat pasukan pelawat dari Itali di Parc des Princes.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Mbappe membuka tirai jaringan selepas setengah jam sekali gus mengumpul gol ke-10 buatnya bersama kelab musim ini dan rakan sepasukan Perancis, Kolo Muani menambah satu lagi sejurus selepas rehat.
Kang In kemudian tampil dari bangku pemain simpanan untuk meledak gol ketiga pada lewat perlawanan, gol sulung bintang Korea Selatan itu bersama kelab baharunya.
PSG berhak menang dengan kelab Ligue 1 itu ternyata berbeza daripada pasukan yang kalah di tangan Newcastle apabila mereka tampil dengan empat pemain serangan dan dikuasai lawan di bahagian tengah.

“Kami amat berbangga dengan persembahan kami,” kata Kolo Muani kepada badan penyiar Canal Plus.
“Memenangi perlawanan ini mencetus keyakinan dalam diri setiap pemain dan kami perlu meneruskan cara ini.”
Sesudah memulakan kempen Eropah mereka dengan kemenangan 2-0 di laman sendiri berdepan Borussia Dortmund, PSG mendahului Kumpulan F dengan enam mata menjelang kunjungan ke Milan selepas ini.
Juara Eropah tujuh kali itu menghuni tangga tercorot dengan dua mata dan apa yang amat membimbangkan buat pasukan kendalian Stefano Pioli mereka belum menjaringkan sebarang gol di peringkat kumpulan.
“Jelas kami tidak berada di kedudukan yang baik,” akui Pioli.
“Saya berharap Newcastle tidak mengalahkan Dortmund kerana ia akan membantu kami tetapi kami tidak boleh terlalu bergantung kepada keputusan lain.” – AFP
-BH ONLINE-
imedikel TV






