KUALA LUMPUR: Barisan pemain badminton masih gagal untuk menamatkan kemarau tujuh tahun kejuaraan di tanah air sendiri apabila tiada wakil negara yang beraksi di pentas final Terbuka Malaysia di Axiata Arena.
Kali terakhir Malaysia merangkul gelaran juara adalah pada 2018 menerusi perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei.
Biarpun keputusan untuk tahun ini lebih baik jika dibandingkan 2024 yang mana tiada satu wakil pun layak ke separuh akhir ketika itu, namun aksi beberapa pemain bintang negara gagal memenuhi sandaran yang ditetapkan terhadap mereka.
Antaranya beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terkandas di pusingan kedua dan beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah tewas di pusingan pertama yang disifatkan oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky di bawah prestasi yang diharapkan termasuklah Leong Jun Hao (perseorangan lelaki).
“Kita mahu pemain menunjukkan reaksi balas dari kedua-dua belah pihak (jurulatih dan pemain) selepas ini kerana Pearly-Thinaah dan Aaron-Wooi Yik memang berada di bawah paras yang kita harapkan.
“Sementara itu, kita boleh nampak Jun Hao mahu buktikan sesuatu selepas kehadiran Kenneth (Jonassen). Dia cuba untuk tampilkan aksi terbaik tetapi belum mencapai apa yang dimahukan,” ujar Rexy.
Sementara itu mengulas mengenai Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei Rexy berkata, beliau melihat ada beberapa kelemahan dan kelebihan selepas tamatnya perjuangan barisan pemain negara.
Katanya, antara faktor utama adalah kelemahan dari segi kekuatan mental dan keyakinan diri seperti yang berlaku kepada beregu lelaki, Wei Chong-Kai Wun dan beregu campuran, Tang Jie-Ee Wei.
“Pemain kita masih lagi tak percaya dengan kemampuan dia. Mereka masih ragu-ragu selepas mendahului lawan yang menyebabkan lawan ambil kesempatan untuk kembali mengejar biarpun jurang mata itu besar.
“Contohnya seperti Tang Jie dan Ee Wei. Prestasi mereka sejak sejak Jelajah Dunia Akhir hingga ke Terbuka Malaysia sangat baik tapi masih belum cukup untuk menangi gelaran.
“Saya harap mereka tahu perkara ini dan cuba untuk perbaiki sebabnya saya tak nampak mereka ada kemahuan itu biarpun sudah mendahului perlawanan,” katanya.
Pada aksi separuh akhir semalam, Tang Jie-Ee Wei dan Wei Chong-Kai Wun memulakan perlawanan dengan cukup baik apabila beberapa kali mendahului dalam permainan, namun gagal menghalang kebangkitan pemain lawan.
Akibatnya, kedua-dua beregu itu gagal melangkah ke final, Tang Jie-Ee Wei tewas 19-21, 14-21 kepada pasangan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping manakala Wei Chong-Kai Wun kalah 26-24, 16-21, 15-21 kepada Chen Bo Yang-Liu Yi juga dari China. – HMetro Online –
IMedikel TV






