MOSCOW: Russia semalam memindahkan puluhan ribu orang awam dari wilayah sempadannya dan melancarkan ‘operasi memerangi keganasan’ susulan tindakan Ukraine buat pertama kali melancarkan serangan besar-besaran di Russia.
Pada masa sama, Moscow memberi amaran pertempuran di wilayah Kursk barat di negaranya mengancam loji tenaga nuklear.
Pagi Selasa lalu, unit tentera Ukraine membolosi sempadan Russia dalam apa yang setakat ini disifatkan serangan terbesar dan paling berjaya oleh Kyiv dalam konflik yang berlarutan sejak dua setengah tahun lalu.
Tentera Ukraine semakin mara hingga beberapa kilometer (km) ke hadapan, memaksa tentera Russia mengunakan bekalan dan peralatan tambahan walaupun kedua-dua pihak tidak memberikan butiran tepat mengenai operasi yang dilakukan.
Dalam pada itu, pegawai tempatan memperincikan skala pemindahan orang awam dari bandar dan kampung yang berada berhampiran zon pertempuran semakin besar.
“Lebih 76,000 orang sudah dipindahkan buat sementara waktu ke tempat selamat,” menurut laporan agensi berita TASS yang dikendalikan kerajaan, memetik seorang pegawai dari Kementerian Situasi Kecemasan Russia pada taklimat akhbar semalam.
Bantuan kecemasan sudahpun dihantar ke kawasan sempadan dan perkhidmatan kereta api tambahan ke ibu negara Moscow disediakan untuk membawa mereka yang menyelamatkan diri dari medan pertempuran.
Bagaimanapun, sehingga semalam kedengaran siren serangan udara masih kedengaran di ibu negara Ukraine, Kyiv.
Wartawan AFP mencatatkan sekurang-kurangnya dua serangan udara berlaku semalam dan tentera udara Ukraine mengatakan lima wilayah lain diserang dengan dron.
Kyiv mengekalkan ‘kerahsiaan serangan yang ketat’ dan sejak beberapa hari lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky hanya membuat rujukan tersirat terhadap pertempuran di kawasan terbabit.
Semalam, Tentera Russia mengesahkan pihaknya masih terus menentang pencerobohan Ukraine yang sudah memasuki hari kelima.
Katanya, tentera Kyiv yang memulakan serangan melepasi sempadan dengan kira-kira 1,000 tentera, 20 kenderaan perisai dan 11 kereta kebal, walaupun semalam ia mendakwa memusnahkan sehingga lima kali ganda peralatan tentera setakat ini.
Jumaat lalu, Jawatankuasa anti-keganasan kebangsaan Russia memaklumkan pihaknya memulakan ‘operasi memerangi keganasan’ di wilayah Belgorod, Bryansk dan Kursk bertujuan melindungi rakyat.
Agensi nuklear Russia semalam memberi amaran mengenai ‘ancaman langsung’ yang disasarkan terhadap berhampiran stesen janakuasa nuklear Kursk yang terletak kurang dariapada 50 kilometer dari medan pertempuran.
“Tindakan tentera Ukraine menimbulkan ‘ancaman langsung’ kepada loji Kursk di barat Russia, menurut agensi berita negara yang memetik Agensi Tenaga Atom Rosatom.
Amerika Syarikat (AS), sekutu terdekat Kyiv, berkata pihaknya tidak dimaklumkan awal mengenai rancangan Ukraine itu. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






