Home Buletin Semasa RUMAH TERBENGKALAI JADI TRANSIT SELUDUP, LEBIH TIGA TAN BARANG KAWALAN DIRAMPAS

RUMAH TERBENGKALAI JADI TRANSIT SELUDUP, LEBIH TIGA TAN BARANG KAWALAN DIRAMPAS

136
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Taktik menjadikan sebuah rumah terbengkalai sebagai lokasi transit penyimpanan sementara barang kawalan bersubsidi untuk diseludup ke negara jiran terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas lebih tiga tan minyak masak dan gula dalam satu operasi bersepadu di sekitar Tumpat, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar, berkata serbuan kira-kira jam 5.50 petang itu dijalankan pasukan penguat kuasa KPDN Kelantan menerusi Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 3.

“Hasil risikan mendapati sebuah rumah terbengkalai di Kampung Bunuhan dijadikan stor penyimpanan minyak masak dan gula sebelum barangan itu dipindahkan menggunakan kenderaan ke kawasan sempadan Malaysia–Thailand.

“Ketika operasi dijalankan, pasukan penguat kuasa mengesan dua buah Proton Iswara dan sebuah Honda CR-V berada di lokasi berkenaan dengan tiga lelaki sedang melakukan kerja pemunggahan barangan,”katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, menurut beliau sebaik serbuan dilakukan, seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun ditahan manakala tiga lagi individu melarikan diri ke kawasan sawah dan semak berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut di rumah terbengkalai dan tiga kenderaan terbabit menemukan sejumlah besar minyak masak bersubsidi dan gula pasir kasar yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Antara barangan yang disita di premis berkenaan ialah 1,207 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi serta tambahan 629kg yang disimpan untuk tujuan sama,”jelasnya.

Manalaka jelasnya pemeriksaan ke atas sebuah Proton Iswara pula menemukan 19 kotak minyak masak seberat 323kg dan satu kotak lagi seberat 17kg, selain 288kg gula pasir.

“Sebuah lagi Proton Iswara didapati membawa 288kg gula, manakala Honda CR-V mengandungi 312kg gula pasir.

“Secara keseluruhan, rampasan membabitkan 2,176kg minyak masak bersubsidi bernilai RM5,440 dan 888kg gula pasir bernilai RM2,530.80.

“Tiga kenderaan yang digunakan turut disita dan dianggarkan bernilai RM25,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM32,970.80,”katanya.

Kes disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here