Home Sukan JUN HAO SELAMATKAN MARUAH NEGARA DI BIRMINGHAM

JUN HAO SELAMATKAN MARUAH NEGARA DI BIRMINGHAM

111
0

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao menyelamatkan maruah Malaysia pada hari pertama saingan Seluruh England apabila muncul satu-satunya wakil negara yang meraih kemenangan di pusingan pertama, awal pagi tadi.

Memetik laporan Berita Harian, pemain ranking ke-26 dunia itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk menewaskan pemain ranking ke-13 dunia dari Jepun, Kenta Nishimoto 21-17, 13-21, 21-16 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 81 minit di Arena Birmingham.

Kemenangan itu menamatkan rentetan dua penyingkiran awal Jun Hao selepas terkandas di pusingan pertama pada Terbuka India dan Terbuka Jerman sebelum ini.

Lebih manis, ia juga menjadi kemenangan sulungnya di Arena Birmingham selepas tewas terkandas di pusingan pertama pada penampilan sulung tahun lalu.

Kejayaan berkenaan turut mengukuhkan rekod pertemuan Jun Hao ke atas Nishimoto kepada 4-3.

Cabaran lebih getir menanti pemain berusia 26 tahun itu apabila dijadual berdepan seorang lagi wakil Jepun, Koki Watanabe, yang menghuni ranking ke-24 dunia pada pusingan kedua, esok.

Watanabe mencipta sensasi apabila melakar antara kejutan terbesar pusingan pertama dengan membelasah pilihan ketiga dari Denmark, Anders Antonsen 21-8, 21-12.

Bagaimanapun, Jun Hao memiliki kelebihan apabila memenangi empat daripada lima pertemuan terdahulu menentang Watanabe.

Terdahulu, kem negara dikecewakan dengan penyingkiran lima lagi wakil termasuk beregu campuran nombor satu negara yang juga juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Pasangan ranking keempat dunia itu tewas mengejut kepada gandingan Denmark, Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk, yang berada di ranking ke-34 dunia 21-18, 12-21, 23-25.

Dalam acara beregu lelaki, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri tunduk kepada pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 13-21, 17-21.

Pasangan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula gagal menyaingi kehebatan wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, selepas tewas 9-21, 17-21.

Dua lagi beregu campuran negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing serta Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut tersingkir di pusingan pertama. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here