BEIJING: Peluang jarang-jarang buat peminat bola sepak China untuk menyaksikan Cristiano Ronaldo beraksi di negara mereka terencat hari ini ketika penganjur berkata bintang Portugal itu mengalami masalah “kesihatan” yang menyebabkan dua perlawanan terpaksa ditangguh.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Dua perlawanan persahabatan menampilkan kelabnya Al-Nassr dari Arab Saudi, pada awalnya dijadualkan di bandar raya selatan Shenzhen menentang Shanghai Shenhua dan Zhejiang FC masing-masing esok dan Ahad ini.
“Bagi saya, hari ini adalah hari yang menyedihkan,” Ronaldo memberitahu sidang akhbar petang tadi yang mana dia memohon maaf kepada peminat China.
“Dalam bola sepak, sesetengah perkara anda tidak boleh kawal dan seperti yang anda tahu saya sudah bermain 23 tahun dalam bola sepak,” katanya menambah “malangnya, saya ada beberapa masalah.”
Seorang jurucakap penganjur “Jelajah China” berkata pada sidang akhbar itu penangguhan mengejut itu adalah kerana “alasan kesihatan” membabitkan Ronaldo, tanpa memberikan butiran terperinci.
Perlawanan itu amat ditunggu-tunggu di China dengan jualan tiket bagaikan goreng pisang panas apabila habis dijual dalam beberapa jam sahaja bulan ini.
Penganjur memberi jaminan kepada peminat mereka akan mengembalikan semula wang bagi yang sudah membeli tiket.
“Saya datang ke China sejak 2003, 2004, jadi saya berada di tempat sendiri di sini, saya berasa ini rumah kedua saya, bukan hanya kerana layanan orang China tetapi budaya yang anda tawarkan kepada saya,” kata Ronaldo.
“Saya sukakan negara ini, saya suka berada di sini, saya suka berada dengan anda semua dan saya mahu bermain untuk anda.
“Kami tidak membatalkan perlawanan… Kami mahu kembali ke negara anda.” – AFP,BH Online-
Imedikel TV






