HANGZHOU: Atlet terjun negara, Bertrand Rhodict Lises terlepas penamat podium yang menjanjikan kilauan pingat pada hari terakhir sukan terjun dipertandingkan di Sukan Asia Hangzhou.
Beraksi dalam final acara 10 meter (m) platform, atlet dari Sarawak yang muncul sebagai atlet pertama negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu menamatkan saingan di tempat keempat daripada 12 peserta yang turut disertai pemenang pingat perak Kejohanan Dunia tahun lalu dari Jepun, Rikuto Tamai.
Selepas enam terjunan di Arena Sukan Akuatik Olimpik, Bertrand – yang sudah meraih gangsa dalam acara 10m seirama bersama Enrique Maccartney Harold – mengumpul 434.85 mata.
Memetik laporan menerusi berita harian,Atlet China berusia 25 tahun, Yang Hao meraih emas dengan 554.35 mata manakala rakan senegaranya, Bai Yuming berada di kedudukan kedua, 495.55 mata untuk membawa pulang perak.
Rikuto yang meraih 480.50 mata menafikan impian Bertrand untuk meraih pingat apabila berada di kedudukan ketiga untuk membawa pulang gangsa.
Secara keseluruhannya, China seperti dijangka membolot kesemua 10 emas ditawarkan kali ini selain enam perak dalam acara perseorangan.
“Sebenarnya, ketika saringan, saya tergelincir. Ketika pertandingan pula, saya juga hampir tergelincir,” kata Bertrand. “Saya berada di kedudukan 5m, saya melakukan ‘handstand’ tetapi saya tidak boleh menahannya, jadi saya terkebelakang. Ia berlaku dua kali sebenarnya.
“Namun ketika pertandingan, saya berjaya mengawal ‘handstand’ dan melakukan terjunan.”
Malaysia menamatkan kempen dengan satu perak dalam acara 3m papan anjal wanita seirama dan empat gangsa (3m papan anjal lelaki seirama, 10m platform lelaki seirama, 10m platform wanita dan 10m platform wanita seirama).
Untuk rekod, sasaran awal di Sukan Asia Hangzhou buat kem terjun adalah satu perak dan dua gangsa-Berita harian online
Imedikel TV






