Oleh: Nur Athirah Azman@Imedikel TV
KOTA BHARU: Rezeki terpijak buat seorang penjawat awam apabila menang hadiah sebuah motosikal Modenas dalam acara cabutan bertuah ketika menyertai program larian lebaran yang diadakan di Perkarangan Aeon Mall, Kota Bharu, semalam.
Pemenang, Noraida Awang, 38, dari Pengkalan Kubor berkata, dia menyertai larian tersebut bukan untuk mendapat hadiah, tetapi sekadar mengeluarkan peluh memandangkan ini adalah kali pertama dia menyertainya.
“Alhamdulillah rezeki saya terpijak disini, ini merupakan sesuatu yang tidak disangka dapat menang hadiah motosikal sedangkan sebelum ini saya tidak pernah bertuah.
“Mungkin hari ini akan menjadi hari yang bersejarah bagi saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Karnival Lebaran 2024, di Kota Bharu, di sini, semalam.

Kata Noraida, dia sertai larian itu bersama empat orang rakan sekerjanya.
Sementara itu, seorang lagi peserta yang juga atlet Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sering, Nik Adlan Hidayatullah Rozman dapat memperoleh masa selama 14 minit pertama dalam larian sejauh 3.4kilometer itu.
“Tujuan saya masuk larian adalah untuk latihan kerana saya terlibat dengan pertandingan larian pada peringkat Majlis Sukan Daerah (MSD) pada sabtu ini.
“Meskipun ini bukan pertandingan, tetapi saya bangga dengan diri sendiri kerana dapat melatih diri untuk pecut dan sampai lebih awal berbanding orang lain,” katanya.
IMedikel TV






