KUALA LUMPUR: Penyanyi Fahimi Rahmat mengakui adik kembarnya yang juga penyanyi dan komposer, Firdaus Rahmat tidak pernah cemburu di atas kejayaannya, meskipun namanya tersenarai antara 36 calon undian tertinggi setakat ini dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.
Popular menerusi lagu Angau, Fahimi berkata, mereka berbangga dicalonkan menerusi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, ABPBH 36.
“Selama ini, Firdaus tetap menyokong saya sebagai adik, begitu juga saya. Pencalonan ini tidak memberikan masalah kepada kami. Malah, kami memahami antara satu sama lain.
“Saya berjaya pada tahap ini pun Firdaus okay, malah saya juga menyokongnya berjaya dalam Anugerah Juara Lagu (AJL),” katanya kepada BH Online.
Berkongsi lanjut, Fahimi yang turut dicalonkan menerusi kategori Lagu Paling Boom Popular menerusi lagu Angau menyifatkan pencalonannya sebagai satu penghargaan besar dan rezekinya di sebalik lagu berkenaan.
“Saya tak sangka dicalonkan dalam ABPBH 36 disebabkan lagu Angau. Selama ini, saya tengok orang lain bolos pencalonan, kini giliran saya. Rasa macam terkesima juga bila tengok nama sendiri.
“Ini semua aturan Allah dan saya tak sangka terima penghargaan ini. Bagi saya, perjalanan masih jauh, jadi saya ambil peluang di depan mata.
“Sebagai penyanyi dan penulis, saya hasilkan sahaja lagu yang semua orang suka dengar. Saya terus mencuba sehingga lagu Angau menjadi.
“Lagu Angau menjadi punca perjalanan hidup saya berubah. Alhamdulillah lagu Angau juga memberi banyak peluang.
“Saya bersyukur dengan apa yang saya peroleh, ini semua anugerah walaupun tak besar sangat, tapi saya hargai,” katanya yang ditemui di majlis pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 36 di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South, minggu lalu.
Tambah Fahimi, dia tidak mengharapkan kemenangan besar.
“Saya bersyukur jika menang, tapi kalau setakat masuk Top 5 sahaja pun, saya sifatkan satu ‘benchmark’. Mungkin tahun depan saya boleh berusaha lebih lagi.
“Sebab saya selalu letakkan diri saya di bawah sekali, mungkin saya tak banyak pengalaman seperti orang lain.
“Seperti calon penyanyi lain mungkin ada yang sudah menghasilkan banyak lagu popular, jadi kalau saya menang itu adalah rezeki.
“Apapun, saya rasa seperti satu pengiktirafan apabila dicalonkan dalam kalangan penyanyi hebat, jadi saya kena berusaha hasilkan lebih banyak lagu popular pada masa hadapan,” katanya yang akan tampil dengan single baharu pada masa terdekat dan merancang mengeluarkan album, tahun hadapan.
Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh yang membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.
ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama. – BH Online –
IMedikel TV






