Home Hiburan REMY BERSYUKUR BOLOS TOP 20 ABPBH 37

REMY BERSYUKUR BOLOS TOP 20 ABPBH 37

SHAH ALAM: Datuk Remy Ishak bersyukur dirinya tersenarai dalam kelompok Top 20 bagi dua kategori Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37, iaitu Aktor Filem Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular.

Memetik laporan Berita Harian, Remy atau nama penuh, Mohammad Zalimei Ishak, 43, berkata pencalonan itu dianggap sebagai suatu bentuk pengiktirafan daripada peminat yang terus menyokong kerjaya seninya sejak awal pembabitan dalam industri kreatif.

Mengulas mengenai peluang menang, bintang filem Pulang ini berkata andai trofi berprestij menjadi miliknya, ia bukanlah kemenangan peribadi.

“Kalau rezeki berpihak kepada saya untuk menang, sebenarnya, bukan saya yang menang. Sebaliknya, peminat saya yang menang anugerah ini berdasarkan undian mereka.

“Kalau mereka hendak saya menang, kalau mereka hendak rasa kemenangan itu bersama-sama, mereka kenalah undi saya, kalau tiada, tiada lah.

“Saya lebih cenderung kepada prestasi lakonan dan anugerah festival filem yang menilai mutu lakonan berdasarkan pilihan juri profesional. Itu adalah sasaran dan hala tuju saya,” katanya ditemui pada majlis pelancaran kenderaan SUV GAC EMKOO di GAC Glenmarie Showroom di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Remy diumumkan sebagai duta kereta terbaharu keluaran GAC, model SUV GAC EMKOO.

Ditanya soal keakraban dan tahap interaksi dengan peminat, Remy mengakui hubungan bersama peminat tidak seakrab dahulu.

“Sekarang sudah kurang. Dahulu, ketika bujang masih ada masa untuk jumpa dan berkomunikasi dengan peminat.

“Sekarang saya lebih fokus kepada keluarga dan kerja. Jadi, masa untuk berjumpa dan berinteraksi bersama peminat tidak banyak. Kalau berinteraksi, hanya melalui media sosial seperti Instagram (IG),” katanya.

Namun, Remy tetap menghargai setiap sokongan yang diterima dan berharap pencalonan ABPBH ke-37 menjadi bukti dirinya masih relevan dalam industri seni tanah air.

Dalam perkembangan lain, Remy mengakui tidak melihat kereta mewah sebagai keperluan, sebaliknya, lebih mementingkan aspek keselamatan dan keselesaan.

“Sebenarnya itu adalah hak masing-masing. Kalau mereka hendak berkereta mewah atau pandu kereta biasa, itu pilihan mereka. Saya lebih selesa (kereta) yang biasa-biasa sahaja.

“Maksudnya, tidak ada kepentingan pun untuk saya berkereta mewah. Pada saya, yang lebih penting adalah keselamatan. Tambahan pula, saya sudah berkeluarga.

“Kita lihat macam-macam keadaan dan kejadian atas jalan raya sekarang. Media sosial pun kita lihat sudah dedahkan banyak kejadian yang tidak diingini atas jalan raya. Jadi, paling penting mewah letak di belakang, keselamatan nombor satu,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here