Home Buletin Semasa SENI UKIRAN CINCIN PERAK WARISAN YANG WAJAR DIPERTAHANKAN

SENI UKIRAN CINCIN PERAK WARISAN YANG WAJAR DIPERTAHANKAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Daripada secebis logam perak menjadi sebentuk cincin, ukiran seni yang perlu dikekalkan bagi para penggiat cincin perak di negeri ini.

Walaupun teknologi makin canggih, namun seni tangan perlu menjadi warisan turun-temurun agar tidak lapuk ditelan zaman.

Seorang tukang cincin perak, Mohammad Redzuan Mohd Yusoff, 48, dari Kampung Penambang, Tumpat, ketika ditemui kru IMedikel TV berkata, seni ukiran perak bukan sekadar hasil tangan, tetapi warisan budaya yang perlu diteruskan kerana perhiasan itu sentiasa mendapat permintaan daripada peminat cincin.

“Masih ada yang memakai barangan perak ini jadi saya rasa ia perlu dikembangkan terutama dari segi mutu penghasilan barangan serta melahirkan tukang-tukang baharu.

“Anak muda mungkin melihat bidang ini tidak akan bertahan lama, namun persepsi itu perlu ditepis dengan memberi tunjuk ajar dan peluang oleh pihak tertentu,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di premisnya, di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, dia mengakui minat dalam kalangan anak muda terhadap bidang itu masih kurang kerana kebanyakan mereka menganggapnya tidak menjamin masa depan.

Dalam pada itu, jelasnya dia mula menceburi bidang pertukangan perak sejak usia 18 tahun selepas melihat ahli keluarganya yang bergiat dalam bidang tersebut.

Katanya, dia sering mempelajari dan menguasai satu demi satu ukiran bentuk cincin sehingga mahir dan mencari pengalaman di kedai cincin sebelum berjaya membuka premisnya sendiri.

“Sekarang saya masih menggunakan teknik kulit sotong kerana itulah teknik yang saya pelajari dahulu, prosesnya bermula dengan mengorek kulit sotong bagi membentuk acuan cincin kemudian logam perak yang sudah dilebur akan dituang ke dalam acuan tersebut, setelah logam mengeras, lebihan akan dibuang.

“Seterusnya, saya menggunakan kikir untuk membentuk, dan membuat corak, akhir sekali proses semawar dilakukan bagi mencairkan bahagian sambungan cincin menggunakan api kecil sebelum disatukan dan dikemaskan,” katanya.

Jelasnya, antara batu permata yang sering digunakan adalah zamrud, delima, nilam dan kecubung yang mempunyai pelbagai warna dan saiz manakala bagi rekaan pula adalah pahat bunga jawa, lilit berlian dan kuku kambing.

Bapa kepada dua anak itu berkata, setiap corak dan rekaan cincin mempunyai motif tersendiri bergantung kepada permintaan pelanggan.

Katanya, dari segi harga, ia ditentukan berdasarkan kualiti batu permata yang digunakan dan ada yang mencecah ribuan ringgit, namun semuanya bergantung kepada rundingan bersama pelanggan.

Justeru, orang ramai perlu sedar akan nilai seni warisan yang perlu dipertahankan itu serta tidak melepaskannya kepada bangsa lain.

“Kita perlu beri sokongan kepada pelapis baharu supaya bidang ini terus berkembang dan diminati oleh mereka yang berminat,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here