Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Penggunaan rokok elektronik atau vape sudah tidak asing lagi dalam kalangan pelajar bawah umur kerana ramai dalam kalangan mereka sudah terdedah dengan pelbagai bahan terlarang.

Guru, Azwanie Che Musa, 44 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang berkata, hal itu perlu diambil serius memandangkan ramai pelajar yang ditangkap menghisap vape di sekolah.
“Kebiasaannya pelajar ini hanya tahu hisap vape namun mereka tidak tahu apa kesan atau komplikasi yang boleh terjadi pada mereka.
“Terutamanya mereka yang berumur 9 hingga 12 tahun kerana semakin meningkat ke alam dewasa, dan mereka juga lebih mudah terpengaruh dengan rakan sebaya selain daripada melihat bapa atau abang yang hisap vape di rumah,” katanya ketika ditemui pada Program Intelek Asuhan Rohani, di Permai Beach Resort, di sini, semalam.
Azwanie berkata, menerusi program itu, seramai 14 daripada 20 pelajar lelaki yang mengaku pernah menghisap rokok elektronik tersebut.
Sementara itu, seorang lagi guru, Hazita Yunus, 47, dari SK Sri Wangi berpendapat program tersebut sangat bagus untuk pelajar khususnya mereka yang berada di kelas hujung.
“Pelajar kelas hujung biasanya susah mendengar nasihat daripada guru dan ibu bapa, mungkin melalui program ini mereka boleh memahami serta takut untuk mendekati bahan tersebut,”katanya.
Imedikel TV






