LONDON: Penyerang Manchester United, Marcus Rashford mengecam tuduhan tidak berasas yang disebarkan pihak tertentu mengenai khabar angin yang mendakwa dirinya mahu meninggalkan pasukan.
Jelas pemain kebangsaan England itu, dakwaan berkenaan tidak masuk akal malah Rashford menafikan dirinya sedang mencari ejen baharu di tengah-tengah pergolakan mengenai statusnya bersama pasukan.
Menerusi luahan di laman social miliknya, Rashford menolak tuduhan tidak benar itu.
“Terdapat banyak cerita palsu yang ditulis sejak beberapa minggu lalu. Ia semakin tidak masuk akal.
“Saya tidak pernah bertemu dengan mana-mana ejen dan tidak mempunyai rancangan untuk melakukan perkara itu,” tulisnya.
Terdahulu, terdapat satu laporan mendakwa Rashford bertemu dengan sebuah agensi sukan terkemuka dalam usaha untuk memastikan perpindahannya dari Old Trafford selepas tidak mendapat minit permainan beberapa minggu kebelakangan ini.
Ia berlaku selepas dia memberikan bayangan dalam sebuah temubual bahawa dirinya bersedia ‘mencari cabaran baru’ selepas tidak mendapat sokongan di bawah pengurus baharu, Ruben Amorim.
Untuk rekod, Rashford sudah menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan pertama di bawah kendalian Amorim tetapi gagal menjaringkan gol dalam tiga aksi berikutnya sebelum diketepikan daripada skuad utama. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






