PENYANYI legenda terkenal Bollywood, Udit Narayan atau lebih dikenali sebagai Raja Melodi sememangnya bukan nama asing bagi peminat tempatan.
Popularitinya dengan penghasilan lagu Hindi dan filem Bollywood dari era 1990-an masih kekal hingga kini.
Justeru, tidak hairanlah, Konsert Udit Narayan yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur berjaya menarik seramai 3,000 penonton, baru-baru ini.
Rata-rata peminat sangat teruja dan terhibur menyaksikan konsert yang berjaya mengimbau peminat dengan rangkaian lagu-lagu Hindi popular pada zaman kegemilangan Bollywood itu.
Ternyata, pada usia emas 69 tahun, Udit masih mampu memberikan persembahan bertenaga dan menghiburkan dengan rangkaian 22 lagu hitsnya.
Udit berkata, dia juga mahu mengucapkan terima kasih kepada penganjur, VVST Digital Creation yang mengundangnya untuk menjayakan konsert di negara ini.
“Salam sejahtera Malaysia, negara yang indah. Saya berasa seronok kerana dapat kembali ke Malaysia selepas kali terakhir ke sini, kira-kira 12 tahun lalu.
“Saya berterima kasih kepada penganjur kerana mengundang saya,” katanya.
Udit membuka tirai persembahannya pada jam 9 malam dengan kemunculannya di pentas mendapat tepukan gemuruh.
Penyanyi yang banyak meminjamkan suaranya untuk filem-filem Bollywood sejak 1980-an itu juga nampaknya kekal bertenaga termasuk ketika menyampaikan lagu nada tinggi sehingga penghujung konsert sekitar lebih tiga jam itu.
Antara lagu popular filem Bollywood disampaikannya ialah Nasha Yeh Pyaar Ka Nasha dan Tinak Tin Tana daripada filem Mann lakonan Amir Khan, Anil Kapoor dan Manisha Koirala.
Udit turut berduet dengan penyanyi muda iaitu Sana untuk menyampaikan lagu Bollywood popular seperti Kuch Kuch Hota Hai, Dil Toh Paagal Hai dan Kaho Na Pyaar Hai.
Selain Sana, Udit juga berduet dengan penyanyi Deepa Ji menerusi lagu Ae Ajnabee dan Tu Mere Saamne.
Lagu lain dinyanyikan Udit secara solo antaranya Dil Ne Yeh Kaha Hai Dil Se, Papa Kehte Hain, Ruk Ja, Jaadu Teri Nazar, Aye Mere Humsafar, Tere Naam, Raja Ko Rani Se, Pehla Nasha, Ud Ja Kaale, Sahaana Saral Thoo, Main Yahaan Hoon, Areh Reh Areh Yeh Kya Hua, Khaike Paan Banaras Waala dan Main Nikla Gaddi Leke, Tu Cheez Badi Hai, Kisi Disco Mein Jaaye, Tip Barsa Paani dan Mere Mehboob Mere Sanam.
Pada penghujung konsertnya, Udit bersama Sana dan Deepa Ji menyampaikan lagu Bole Chudiyaan dan Mehendi Lagake Rakhna dan Deewangi.
Setiap kali Udit menyampaikan lagu popularnya, peminat turut sama menyanyi dengannya dan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing sehinggalah konsertnya berakhir.
Sana turut menyampaikan lagunya secara solo seperti Zara Zara, Kaisi Paheli dan Jiya Re Jiya.
Terdahulu, penonton juga dihiburkan dengan persembahan pembukaan dari artis tempatan seperti penyanyi Kila Fairy yang berduet dengan Syamel serta penyanyi Farez Adnan yang turut menyampaikan lagu hindi popular.
Mengimbas latarnya, sepanjang kerjaya selama lebih empat dekad, Udit pernah menyanyikan lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa.
Karier nyanyian Udit mula melonjak menerusi lagu Papa Kehte Hain dari filem Qayamat Se Qayamat Tak.
Udit banyak meminjamkan suara untuk bintang filem Bollywood seperti Amitabh Bachchan, Datuk Shah Rukh Khan, Salman Khan, Aamir Khan dan Hrithik Roshan dalam filem Bollywood. – HMetro Online –
IMedikel TV






