LONDON: Impian Marcus Rashford untuk menyertai Barcelona kini semakin hampir menjadi kenyataan selepas Manchester United menerima bidaan awal daripada kelab gergasi Sepanyol itu.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Barcelona dilaporkan mengemukakan tawaran pinjaman dengan pilihan pembelian untuk penyerang antarabangsa England itu, yang dimaklumkan tidak lagi berada dalam perancangan pasukan di Old Trafford.
Rashford sebelum ini dipinjamkan ke Aston Villa pada separuh kedua musim lalu selepas rundingan berpindah ke Sepanyol ketika jendela Januari gagal direalisasikan kerana faktor teknikal dan kewangan.
Produk akademi United itu kini menjalani latihan di Carrington bersama pemain-pemain yang dianggap ‘bukan dalam perancangan’ pengurus, Ruben Amorim, termasuk Antony dan Alejandro Garnacho.
Rashford sememangnya sejak awal menyatakan hasrat untuk ke Barcelona, walaupun kelab itu turut mempertimbangkan Luis Diaz dari Liverpool sebagai satu lagi pilihan.
Manchester United, yang sedang berusaha mengurangkan beban skuad dan gaji pemain, sudah bersetuju secara prinsip untuk membenarkan Rashford dipinjamkan keluar, namun belum ada perjanjian muktamad setakat ini.
Rashford jatuh merudum dalam hierarki pasukan selepas ketibaan Ruben Amorim sebagai pengurus pada November tahun lalu, dan dipinjamkan ke Villa untuk menghidupkan kembali kariernya.
Pemain itu kemudiannya menghantar isyarat jelas kepada Barcelona, dengan menyatakan impian untuk bermain bersama bintang muda, Lamine Yamal – kenyataan yang menguatkan lagi spekulasi perpindahannya.
Difahamkan, pengendali Barca, Hansi Flick, sudah memberi lampu hijau untuk perpindahan Rashford, dan kelab melihat langkah itu sebagai sesuai daripada aspek taktikal dan kewangan.
Sementara rundingan terus berjalan, Rashford kekal berlatih secara bersendirian kerana Amorim tiada perancangan untuk menyerapnya semula ke dalam skuad utama. -Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






