Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan mangsa lelaki berusia 40 tahun menggunakan sabit di sebuah kedai kopi di sini, 5 Jun lalu.
Tertuduh, Mohd Yusaini Mohd Yusoff, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan di bacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa di bahagian dahi dan bawah mata kanan menggunakan senjata iaitu sabit.
Kejadian berlaku di sebuah kedai kopi simpang empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di dalam daerah ini pada jam 7.45 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Naabil Mohamed Asri manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Fiqri Muhamad.
Terdahulu, Ahmad Naabil menawarkan jaminan sebanyak RM8,000, namun peguamnya memohon pengurangan jaminan atas alasan anak guamnya hanya bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu.
Tambah Muhammad Fiqri, tertuduh juga sudah berkahwin dan perlu menyara tiga orang anak.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan syarat tertuduh tidak boleh menganggu mangsa atau saksi sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes pada 10 Ogos depan.
IMedikel TV






