Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Tanaman Moringa yang diusahakan komuniti Kelab Komuniti Tani Ternak Pasir Mas (Kita Bina) bakal diberi nilai tambah menerusi pembangunan produk hiliran, dengan kopi berasaskan Moringa antara produk yang dicadangkan hasil kerjasama bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli dan IMedikel Pharma Holding Berhad (IMPHB).
Pensyarah Kanan UMK Jeli, Dr Musfiroh Jani, berkata lawatan komuniti bersama lima pensyarah UMK ke wisma IMPHB itu bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti mengenai kaedah pemasaran serta pembangunan produk berasaskan hasil tanaman tempatan.
Menurutnya, sesi penerangan dan perbincangan yang berlangsung sepanjang program itu membuka ruang kepada komuniti untuk mengenal pasti beberapa produk berpotensi yang boleh dihasilkan daripada tanaman Moringa.

“Selepas kita mendengar penerangan daripada pihak UMK dan mengikuti program selama setengah hari, kita mendapat banyak idea berkenaan produk-produk yang berpotensi dihasilkan daripada tanaman Moringa daripada kelab tani ternak.
“InsyaAllah, salah satu pilihan adalah membuat kopi seperti yang dibincangkan pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan komuniti Kita Bina Pasir Mas dan UMK ke Wisma IMPHB di sini hari ini.
Dr Musfiroh berkata, kerjasama berkenaan diharap tidak terhenti pada peringkat lawatan atau perbincangan, sebaliknya dapat diteruskan secara berterusan antara komuniti, universiti dan pihak industri.
“Harapan kami semoga selepas ini jalinan kerjasama antara komuniti, universiti dan IMPHB tidak terhenti setakat hari ini, malah akan terus berkembang dan dapat dilestarikan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Kita Bina, Mohd Fadly Zakaria, berkata pihaknya sebelum ini memerlukan bimbingan untuk menentukan hala tuju serta kaedah terbaik bagi mengembangkan hasil tanaman komuniti menjadi produk yang mempunyai nilai komersial.
Katanya, melalui kerjasama dan tunjuk ajar UMK serta pendedahan daripada pihak industri, komuniti kini mempunyai gambaran lebih jelas mengenai potensi Moringa untuk diproses menjadi pelbagai produk.

“Daripada pokok Moringa, kita ambil daunnya untuk diproses dan ia mempunyai pelbagai kegunaan. Kita boleh buat kopi, teh, sabun dan macam-macam lagi.
“Bagaimanapun, kita akan fokus kepada satu produk dahulu dan insyaAllah kita akan pilih kopi,” katanya.
Menurutnya, tanaman Moringa berkenaan diusahakan ahli komuniti di kawasan Kita Bina yang beralamat di Kampung Betul Pohon Buloh, Pasir Mas, dengan kira-kira 50 batang pokok ditanam pada peringkat awal.
Beliau berkata, kawasan berkenaan mempunyai keluasan kira-kira 0.4047 hektar dan turut menempatkan pelbagai tanaman lain seperti kunyit, cendawan serta sayur-sayuran termasuk sawi.
“Selain Moringa, kita ada tanaman lain seperti kunyit, cendawan dan sayur-sayuran. Ada produk yang mempunyai jangka masa penyimpanan panjang dan juga produk segera,” katanya.
Mohd Fadly berkata, hasil tanaman komuniti turut mendapat sokongan kemudahan UMK untuk proses pengeringan dan pemprosesan sebelum dibangunkan menjadi produk.
Katanya, hasil tanaman itu akan dikeringkan di rumah pengeringan UMK sebelum diproses menggunakan kemudahan universiti.
Beliau berkata, kerjasama itu diyakini mampu membantu usahawan tani tempatan, khususnya di Pasir Mas, untuk bergerak daripada sekadar menghasilkan bahan mentah kepada penghasilan produk sendiri.
“Harapan besar kita, apa yang dibincangkan, apa yang ditunjukkan dan diajar oleh UMK itu dapat direalisasikan.
“Hasrat kita bukan projek ini setahun sahaja. Kita mahu ia berterusan supaya selepas ini kita boleh bawa diri sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Korporat IMPHB, Mohd Firdaus Mohamed Yusoff, berkata pihaknya menyambut baik idea komuniti Pasir Mas untuk menghasilkan produk kesihatan berasaskan Moringa.
Katanya, kerjasama tiga pihak membabitkan UMK, komuniti Pasir Mas dan IMPHB itu berpotensi menghasilkan produk baharu yang memberi manfaat kepada komuniti serta mempunyai nilai komersial.

“Ini adalah idea daripada komuniti Pasir Mas untuk menghasilkan produk berasaskan Moringa bagi diimplementasikan kepada produk kesihatan kita.
“Kita juga harapkan kolaborasi antara ketiga-tiga pihak ini terus berlangsung dengan lebih baik dan mencapai impak yang positif pada masa akan datang,” katanya.
Mohd Firdaus berkata, IMPHB sebagai pihak industri akan terus menyokong pembangunan produk, termasuk hasil penyelidikan dan inovasi daripada institusi pengajian tinggi serta komuniti.
Beliau berkata, proses pembangunan produk Moringa itu secara tidak langsung sudah bermula menerusi usaha komuniti membekalkan bahan mentah untuk tujuan penghasilan produk.
“Kalau ikutkan, projek ini sudah mula secara tidak langsung melalui Moringa yang akan dibekalkan oleh pihak komuniti Pasir Mas untuk pembuatan produk.
“Mungkin kita boleh katakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, bergantung kepada persiapan daripada ketiga-tiga pihak,” katanya.
Kerjasama itu dilihat mampu membuka laluan baharu kepada komuniti Pasir Mas untuk memperluas potensi hasil pertanian tempatan melalui penyelidikan, pemprosesan dan pembangunan produk bernilai tambah, sekali gus memperkukuh rantaian keusahawanan daripada kebun hingga ke pasaran.
IMedikel TV






