Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri sedang memantau rapi perkembangan banjir besar di Daerah Rasuwa, Nepal, yang dicetuskan oleh limpahan Sungai Bhote Koshi, semalam.
Berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan, seramai 55 warganegara Malaysia yang dilaporkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu masih belum dapat dihubungi.
Perkara itu disahkan Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wisma Putra gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan terjejas berkemungkinan menjadi antara faktor yang menyebabkan kesukaran menghubungi mereka.
“Menurut pihak berkuasa tempatan, bencana berkenaan mengakibatkan kerosakan teruk terhadap pelbagai infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi.
“Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan, namun akses ke beberapa kawasan terjejas masih terhad,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama di Kathmandu bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang terlibat.
“Setakat ini, Kementerian Luar Negeri belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa membabitkan warganegara Malaysia.
“Sebagai langkah segera, Kementerian turut menempatkan seorang pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh, bagi membantu Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di Putrajaya turut diaktifkan mulai jam 12 tengah hari ini bagi menyelaras maklumat serta menyediakan saluran komunikasi langsung kepada rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.
Rakyat Malaysia di kawasan terjejas atau ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di talian +603 8887 4570 atau melalui e-mel dutyofficer@kln.gov.my.
Ahli keluarga juga boleh mengemukakan maklumat seperti nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir diketahui dan nombor telefon untuk dihubungi kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerusi e-mel mwkathmandu@kln.gov.my, dengan salinan kepada dutyofficer@kln.gov.my bagi memudahkan penyelarasan.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melakukan perjalanan di Nepal, khususnya di kawasan terjejas atau berhampiran kawasan berkenaan, dinasihatkan supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi segala arahan pihak berkuasa tempatan.
“Mereka turut digesa mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan secara berkala menerusi portal e-Konsular Kementerian Luar Negeri,” menurut kenyataan.
Kementerian Luar Negeri berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Nepal, khususnya keluarga mangsa yang terkorban, serta menzahirkan simpati kepada semua yang terjejas akibat bencana berkenaan.
IMedikel TV






