Home Hiburan UMMI NAZEERA MASIH HADIRI KELAS LAKONAN UNTUK PERBAIKI DIRI

UMMI NAZEERA MASIH HADIRI KELAS LAKONAN UNTUK PERBAIKI DIRI

KUALA LUMPUR: Pelakon Ummi Nazeera mengakui masih menghadiri kelas lakonan sebagai usaha berterusan untuk memperbaiki kualiti lakonan selain menimba ilmu daripada tenaga pengajar meskipun dilabel sebagai pelakon gred A.

Memetik laporan Harian Metro, Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 36, berkata setiap watak dan naskhah yang hadir dengan tuntutan serta pendekatan berbeza membuatkan dia ingin terus belajar untuk mendalami ilmu lakonan.

“Setiap orang ada cara yang berbeza. Kadang-kadang mungkin mereka belum jumpa cikgu yang sesuai dengan mereka atau sesuai dengan cara pemahaman mereka.

“Macam saya, saya sudah berjumpa dengan cikgu yang sesuai. Saya juga suka belajar daripada ramai cikgu. Buat masa ini, saya selesa dengan Cikgu Fatimah Abu Bakar sebab kita boleh mempelbagaikan lagi cara lakonan.

“Saya sangat terbuka kepada perkara itu sebab ini sesuatu yang saya suka. Apabila kita suka sesuatu, kita mahu ada beberapa variasi, bukan hanya menggunakan satu cara sahaja,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman barisan pelakon filem Langit 2 Warna di sebuah hotel, di sini, semalam.

Berkongsi mengenai kepentingan menghadiri kelas lakonan, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, setiap watak memerlukan pendekatan serta pemahaman berlainan dan cabarannya sentiasa berbeza.

“Setiap karya berbeza dan pemahaman watak juga berbeza. Cara menangis untuk setiap watak juga berbeza. Air mata bukan dikeluarkan hanya kerana ingin dikeluarkan, air mata keluar mengikut apa yang dirasai.

“Untuk saya, pemahaman untuk satu karakter itu sangat penting supaya rasa itu sampai, sebab itu saya masih masuk kelas lakonan. Saya mahu pandangan daripada orang luar. Saya tidak akan berhenti belajar tentang lakonan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, naskhah Langit 2 Warna karya ciptaan sepenuhnya Erma Fatima bakal menyaksikan Ummi memegang watak sebagai Innara.

Filem mengisahkan konflik cinta, agama dan keluarga itu menampilkan barisan pelakon dari Malaysia dan Indonesia seperti Reza Rahadian, Christine Hakim, Datin Seri Umie Aida, Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan ramai lagi.

Karya berkenaan bakal menjalani penggambaran di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Mesir sebelum dijangka menemui penonton pada tahun hadapan. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here