KUALA LUMPUR: Berat badan penyanyi, Datuk Hattan, 59, naik empat kilogram selepas dia membuat keputusan berhenti merokok, April lalu.
Hattan berkata, walaupun beratnya naik tetapi tahap kesihatannya sangat baik.
Menurut Hattan, dia sebenarnya masih terkesan dengan kematian adik kesayangan, Mohd Hatta Shahabudin pada Syawal kelima, 14 April lalu ketika berusia 46 tahun.
“Adik saya kuat hisap rokok dan boleh dikatakan berkotak-kotak setiap hari. Tapi bukan saya katakan punca dia meninggal dunia sebab rokok.
“Saya berhenti merokok selepas kematiannya dan alhamdulilah sehingga sekarang dah tak hisap rokok,” katanya.
Hattan tidak menafikan suasana persekitaran sebagai cabaran terbesar untuk dia menjauhi rokok dan setakat ini dia berjaya dengan misinya.
“Saya juga tiap-tiap hari berdoa untuk berhenti merokok selepas adik meninggal dunia. Memang sukar nak berhenti merokok secara drastik, tapi saya tak patah semangat untuk terus amalkan cara hidup sihat.
“Dua minggu pertama berhenti itu memang menggigil nak lawan tapi sekarang okay. Kesan yang saya rasa selepas berhenti, kadang-kadang rasa nak marah saja selain selera makan bertambah. Itu sebab badan saya naik sampai empat kilogram.
“Alhamdulillah, pernafasan saya semakin baik sekali gus dapat menyanyi lagu dengan nada yang tinggi dengan selesa. Sebelum ini, terasa macam ada kahak di bahagian tekak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hattan akan terbabit dalam Konsert Hitam Manis yang akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 Februari depan.
Turut beraksi bersamanya ialah Black Hanifah dan Hazama. – HMetro Online –
IMedikel TV






