SEPANYOL: Jon Rahm dilaporkan akan terus kekal bersama LIV Golf dan tidak akan mengikut jejak langkah Brooks Koepka yang kembali ke PGA Tour, menurut laporan media golf Sepanyol, Ten Golf.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, pemain berusia 31 tahun itu menyertai LIV Golf pada Februari 2024 dan sebagai pemenang dua kejohanan major, Rahm sebenarnya layak menyertai program baharu pengembalian keahlian PGA Tour.
Bekas pemain nombor satu dunia itu pernah menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (US Open) pada 2021 dan Masters pada 2023.
Sebagai kapten pasukan Legion XIII dalam saingan LIV Golf, Rahm turut memenangi dua gelaran individu, kedua-duanya diraih pada 2024.
Selain Rahm, dua lagi bintang LIV Golf iaitu Cam Smith dan Bryson DeChambeau juga memenuhi kriteria untuk kembali ke PGA Tour selepas masing-masing menjuarai kejohanan major antara 2022 hingga 2025 serta berada di luar jelajah itu sekurang-kurangnya dua tahun.
Bagaimanapun, DeChambeau mendedahkan dirinya masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya.
“Saya tidak akan berkongsi terlalu banyak, tetapi perbincangan mengenai masa depan saya masih berjalan. Kami perlu sampai ke satu tahap di mana kedua-dua pihak benar-benar memahami antara satu sama lain,” kata DeChambeau kepada Flushing It Golf.
“Ia perlu berada pada situasi yang masuk akal untuk kedua-dua pihak. Kita tidak pernah tahu apa yang akan berlaku kerana hidup ini penuh kejutan.
“Kita semua lihat apa yang berlaku apabila Koepka meninggalkan LIV, dan itu benar-benar mengejutkan ramai orang. Tetapi itulah realitinya,” katanya. REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






