DEARBORN, Amerika Syarikat : Presiden Donald Trump, mengangkat jari tengah dan dilihat menghamburkan kata-kata kesat terhadap seorang pekerja kilang yang mengkritik pengendaliannya terhadap kontroversi Jeffrey Epstein.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, pertembungan itu ketika lawatan ke sebuah kilang automotif di Michigan pada Selasa, menurut rakaman video yang tular di media sosial.
Laman hiburan TMZ terlebih dahulu menyiarkan video berkenaan, manakala Rumah Putih tidak menafikan kesahihannya.
“Seorang individu tidak waras menjerit kata-kata kesat dalam keadaan marah yang melampau, dan Presiden membalasnya dengan sesuai serta jelas,” kata jurucakap Rumah Putih, Steven Cheung, kepada Reuters menerusi e-mel.
Trump ketika itu melawat kemudahan pemasangan Ford F-150 di Dearborn apabila seorang pekerja menjerit kata-kata yang kedengaran seperti ‘pelindung pedofil’, ketika presiden berdiri di atas laluan pejalan kaki bertingkat, menurut video berkenaan.
Trump kemudian menoleh ke arah individu terbabit dan dilihat membalas dengan kata-kata kesat sebelum membuat isyarat jari tengah sambil berlalu pergi.
Bagaimanapun, pekerja Ford lain dilaporkan bersorak dan menyambut kehadiran presiden ketika beliau meninjau barisan pemasangan, bergambar dengan pekerja serta berjabat tangan.
Trump sebelum ini beberapa kali menggunakan bahasa kesat di khalayak awam, lazimnya sebagai reaksi terhadap kritikan atau konfrontasi, atau bagi menegaskan pendiriannya.
Beliau berdepan penelitian berterusan berhubung pengendaliannya terhadap rekod Persekutuan sensitif yang dikaitkan dengan Epstein, seorang pesalah seks yang disabitkan kesalahan dan meninggal dunia akibat bunuh diri dalam penjara pada 2019.
Ramai penyokong setia Trump percaya kerajaan menyembunyikan dokumen yang boleh mendedahkan hubungan mendiang ahli kewangan itu dengan tokoh awam berpengaruh.
Trump berulang kali menafikan sebarang pengetahuan mengenai dakwaan penderaan dan pemerdagangan seks kanak-kanak perempuan oleh Epstein, dan beliau tidak pernah didakwa melakukan sebarang kesalahan.
Lawatan Trump ke kemudahan di Michigan itu adalah sebahagian daripada usaha menonjolkan sokongan pentadbirannya terhadap sektor pembuatan AS, antara kempen utamanya bagi tahun pilihan raya separuh penggal 2026. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






