RIYADH: Putera Arab Saudi, Putera Al-Waleed yang dikenali sebagai ‘Putera Tidur’ menghembuskan nafas terakhir selepas 20 tahun berada dalam keadaan koma akibat kemalangan di London.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Putera Al-Waleed dilapor meninggal dunia, semalam pada usia 36 tahun
Pemergiannya disahkan bapanya, Putera Khaled menerusi hantaran di platform X.
“Dengan hati yang reda atas ketentuan Allah dan penuh rasa duka, kami mengumumkan pemergian anakanda kami tercinta, Putera Al-Waleed bin Khaled bin Talal bin Abdulaziz Al Saud. Semoga Allah merahmatinya yang meninggal dunia hari ini,” tulisnya.
Putera Al-Waleed mengalami pendarahan otak selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di London pada 2005.
Beliau berusia 15 tahun ketika kejadian dan sedang menuntut di kolej tentera.
Sejak itu, beliau menerima rawatan rapi di Pusat Perubatan King Abdulaziz, Riyadh yang mana beliau berada dalam keadaan koma.
Beberapa pakar perubatan dari seluruh dunia pernah dipanggil untuk merawat Putera Al-Waleed, namun tiada perubahan ketara.
Putera Khaled sebelum ini bertegas enggan menghentikan rawatan atau mencabut sokongan hayat anaknya.
Beberapa tindak balas fizikal kecil daripada Putera Al-Waleed memberi harapan beliau mungkin pulih, namun keadaannya sama hingga menghembuskan nafas terakhir. -Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






