Home Buletin Semasa ISU DADAH, LGBT KELANTAN, PAS PUSAT TANGANI SECARA BERSAMA, BUKAN DIPOLITIKKAN

ISU DADAH, LGBT KELANTAN, PAS PUSAT TANGANI SECARA BERSAMA, BUKAN DIPOLITIKKAN

Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV

KOTA BHARU: Pemuda PAS menegaskan isu penagihan dadah dan gejala LGBT di negara ini tidak seharusnya dijadikan bahan politik, sebaliknya memerlukan pendekatan holistik melibatkan semua pihak termasuk kerajaan, masyarakat dan institusi keluarga.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, gejala dadah bukanlah isu yang hanya membelenggu Kelantan semata-mata, sebaliknya turut berlaku di seluruh negara, termasuk di negeri-negeri bukan di bawah pentadbiran PAS.

“Disebabkan Kelantan, Kedah dan Terengganu adalah negeri-negeri sempadan dengan Thailand, maka cabarannya juga berbeza.

“Tetapi apabila dadah diberi fokus di Kelantan, seolah-olah PAS yang gagal, sedangkan jenayah berlaku di mana-mana negeri lain juga,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan Kali Ke-66 di sini, hari ini.

Menurutnya, jenayah tidak boleh dikaitkan terus dengan parti politik dan pemimpin tertentu kerana ia berpunca daripada pelbagai faktor termasuk lokasi, latar belakang keluarga dan tekanan ekonomi yang dihadapi masyarakat.

“Ramai ibu bapa hari ini terpaksa bekerja siang malam sehingga tidak sempat memantau anak-anak. Bila ekonomi menekan, keluarga jadi terabai dan anak-anak mudah terpengaruh dengan pengaruh negatif,” katanya.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata Pemuda PAS komited untuk terus mendekati golongan belia menerusi bimbingan dan pendidikan jangka panjang, kerana tindakan menghukum semata-mata tidak cukup untuk menyelesaikan masalah dadah dalam masyarakat.

Beliau berkata, bagi menanganinya, perlu dekati mereka, bukan hanya hukum sahaja, cuma punca sebenar perlu ditangani malah masalah dadah tidak datang sendiri, ada sindiket yang beroperasi dan pihak berkuasa hendaklah memainkan peranan dengan lebih tegas.

Dalam pada itu, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dilihat semakin terbuka sejak kebelakangan ini, didakwa berpunca daripada dasar keterbukaan kerajaan dalam hal kebebasan hak asasi manusia.

Katanya, pengharaman LGBT bukan soal tertutup atau terbuka, kerana apa yang haram tetap haram dari sudut syariat dan kerajaan perlu bertindak menyekat sebarang bentuk promosi atau normalisasi budaya tersebut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here