KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) digesa untuk bertindak tegas terhadap Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) sekiranya ada pihak yang cuba melengahkan masa untuk membuka akaun bank khas untuk menerima kemasukan dana daripada kerajaan.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, PSK perlu memudahkan urusan KBS dan MSN untuk menguruskan bantuan dana bagi membolehkan setiap persatuan menggunakan peruntukan untuk membantu atlet mereka.
Tambahnya, sekiranya memang niat mereka ingin memastikan duit yang diterima itu digunakan untuk kebaikan atlet, PSK tidak perlu risau untuk membuka akaun itu.
“Nak bagi duit pun tak nak. Tak bagi duit nanti cakap kerajaan tak bantu. Ini yang pelik ini. Susah sangat ke nak dapat kelulusan ahli majlis.
“Mesyuarat mesti tiga atau empat kali setahun. Kalau kecemasan sangat mungkin boleh dapatkan kelulusan ahli majli secara pekeliling. Ada pelbagai cara untuk proses itu termasuk memanggil mesyuarat khas.
“Tapi kalau ini pun tidak dilakukan PSK, maksudnya ada banyak kerisauan mereka tentang integriti dan akauntabiliti dalam hal ini.
“Senang saja, bagi satu tarikh akhir kepada PSK, jika mereka tak buka akaun khas itu, tarik balik saja peruntukan itu. Mungkin boleh disalurkan kepada PSK bukan sukan teras yang amat memerlukan dana itu,” katanya.
Namun begitu, beliau juga optimis kemungkinan ada beberapa kekangan yang menyebabkan PSK bertindak lewat membuka akaun bank khas itu. – HMetro Online –
IMedikel TV






