SEATTLE: Sekurang-kurangnya lima lagi individu ditikam di Seattle semalam, sekali gus menjadi kes terbaru dalam siri tikaman yang berlaku sejak dua hari lalu di kawasan yang sama, kata polis.
Seorang suspek berjaya ditahan susulan serangan tikaman semalam, yang didakwa dilakukan secara rambang, kata Timbalan Ketua Polis Seattle, Eric Barden, kepada pemberita dalam satu sidang media.
Polis percaya bahawa suspek dalam kes berkenaan berkemungkinan individu yang sama bertanggungjawab atas lima lagi kes tikaman di kawasan Chinatown sebelum ini.
Barden berkata penyerang yang tidak dikenali itu dilihat menyasarkan mangsa secara rawak, kerana hanya seorang mangsa yang barangannya dicuri iaitu sebuah telefon bimbit.
Mengulas lanjut, Barden berkata dalam setiap kes tikaman yang dilakukan, hanya terdapat seorang mangsa dengan sembilan daripada sepuluh mangsa adalah lelaki.
Kecederaan yang dialami termasuklah luka kecil sehingga tikaman yang serius. Setakat ini, empat daripada mangsa sudah dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Ini adalah satu tragedi yang mengerikan, satu kejadian membabitkan banyak mangsa,” kata Barden.
Pegawai yang melakukan penahanan menemui senjata berhampiran suspek, dengan sebilah pisau ditemui masih tertusuk dalam tubuh salah seorang mangsa.
Beberapa mangsa mengenal pasti suspek secara visual selepas penahanannya, kata Barden. Sehingga kini nama suspek masih belum didedahkam.
Kes tikaman terbaru itu berlaku pada petang semalam di blok 1200 South Jackson Street, di kawasan Chinatown-International District, kata polis Seattle.
Empat daripada mangsa dihantar ke hospital dengan pelbagai kecederaan termasuk seorang yang masih mempunyai pisau tertusuk di tubuhnya manakala seorang lagi mangsa selesai dirawat dan dibenarkan pulang, kata Barden. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






