Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BENTONG: “Dalam masa kira-kira 30 minit, kami berjaya melarikan wang tunai RM800,000 termasuk barangan kemas dengan nilai keseluruhan RM3.4 juta.”
Itu pengakuan seorang prospek wanita, Ainul, 24, (bukan nama sebenar), yang kini menjalani hukuman penjara selepas terbabit dalam kegiatan pecah rumah membabitkan kediaman seorang usahawan terkenal kira-kira dua tahun lalu.
Menurutnya, jenayah berkenaan didalangi abang ipar, kakak dan suaminya yang merancang kegiatan itu secara teratur bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, sebagai wanita kampung tanpa pendidikan tinggi, dia mudah terpengaruh dengan kehidupan mewah termasuk memiliki pakaian dan kenderaan berjenama selepas dipelawa menyertai kegiatan berkenaan.
“Selama dua bulan, mereka melakukan intipan di kawasan kediaman usahawan terkenal itu di Gombak, Selangor.
“Mangsa kerap menggunakan media sosial untuk mempamerkan kemewahan yang dimiliki seolah-olah ‘menjemput’ kami datang ke rumah untuk mencuri harta yang ada,” katanya ketika ditemui di Penjara Bentong, baru-baru ini.
Ainul berkata, dia bersama tiga yang lain mengambil masa kira-kira satu setengah jam untuk menggeledah kediaman mangsa yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.
Menurutnya, mereka kemudian membawa keluar sebuah peti besi seberat kira-kira 180 kilogram yang mengandungi wang tunai RM800,000 serta barangan kemas.
“Suami dan abang ipar menggunakan kudrat mereka untuk mengalihkan peti besi berkenaan. Kami mengambil masa kira-kira empat jam untuk membukanya menggunakan pelbagai peralatan,” katanya.
Ainul berkata, perancang utama kegiatan itu ialah abang iparnya yang mempunyai pengalaman luas dalam melakukan pecah masuk ke kediaman mewah.
Hasil kegiatan haram itu, katanya, digunakan untuk membeli tiga kenderaan mewah secara tunai selain pakaian berjenama.
Bagaimanapun, kemewahan yang dinikmati hasil jenayah itu tidak bertahan lama apabila mereka akhirnya diberkas polis berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kediaman mangsa.
“Seperti pepatah Melayu, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga,” katanya.
Ainul berkata, dia dijatuhi hukuman penjara empat tahun lapan bulan bagi dua kesalahan yang dijalankan serentak, termasuk kes pecah rumah seorang usahawan durian crepe di Pulau Pinang dan melarikan wang tunai RM800,000.
Wanita berasal dari Pekan, Pahang itu berkata, dia dan suaminya dijangka dibebaskan pada Julai tahun depan, manakala kakak serta abang iparnya kini menjalani hukuman di Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang.
“Hukuman yang diterima ini sudah cukup mengajar saya untuk insaf dan seterusnya membina kehidupan baharu selepas ini,” katanya.
IMedikel TV






