Home Buletin Semasa JASAD TERAKHIR REMAJA LEMAS MANDI DI PANTAI TANJUNG LOMPAT DIJUMPAI

JASAD TERAKHIR REMAJA LEMAS MANDI DI PANTAI TANJUNG LOMPAT DIJUMPAI

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KOTA TINGGI : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi remaja yang dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Lompat, di sini, sejak Rabu berakhir selepas jasad mangsa ditemukan orang awam petang tadi.

Jasad Muhammad Haiman Fitri Supian, 16, ditemukan kira-kira jam 3.05 petang, pada jarak sekitar 12 kilometer dari lokasi kejadian.

Pegawai Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili, Leftenan Komander Maritim Mohamed Shafiee Bakar berkata, mayat dibawa ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) jam 4.30 petang untuk pengecaman waris.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

“Secara keseluruhan, SAR pada hari ini adalah lebih kurang seluas 139 batu nautika dan memandangkan mangsa terakhir telah dijumpai, jadi kita akan tamatkan SAR untuk operasi di laut,”katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd Syamsuri Mohamad turut mengesahkan penemuan mayat terakhir berkenaan.

Pada Rabu, enam remaja berusia 16 tahun dilaporkan lemas selepas mandi di Pantai Tanjung Lompat, di sini, bagaimanapun dua daripada empat remaja berjaya diselamatkan orang awam.

Jasad Alif Taqiuddin Kamal Hasrul yang ditemui jam 1.15 petang pada Rabu, manakala jasad milik Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor ditemui pada jam 1.53 petang kelmarin.

Jasad Muhammad Adib Hafiy Kamal pula dijumpai jam 11.53 pagi semalam.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here