Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Peranan pengasuh terlatih dalam komuniti amat penting bagi membentuk ekosistem perlindungan kanak-kanak yang menyeluruh, sekali gus memberi ketenangan kepada ibu bekerja untuk memberi tumpuan terhadap kerjaya.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, jaminan keselamatan anak-anak di bawah jagaan pengasuh berkualiti mampu mengurangkan dilema serta rasa bersalah yang sering dihadapi wanita bekerjaya.

Menurutnya, pengalaman ketika pernah berkhidmat sebagai peguam menyedarkannya mengenai cabaran besar menguruskan anak-anak berikutan tuntutan kerjaya yang padat.
“Saya memang rasa sangat bersalah ketika itu kerana tiada pilihan selain menghantar anak ke pengasuh.
“Pengalaman itu menyedarkan saya bahawa tugas mengasuh ini memerlukan komitmen, peluang dan tanggungjawab yang besar dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Gala Pesona Kasih Madani di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth, hari ini.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut berkongsi pengalaman pahit apabila anak keduanya menjadi mangsa dera pengasuh, sebelum beliau berdepan kehilangan anak keempat akibat Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) atau sindrom kematian bayi secara mengejut.
Katanya, kedua-dua pengalaman berkenaan meninggalkan trauma mendalam sehingga pernah terlintas di fikirannya untuk berhenti kerja.
“Ketika itu nasib saya baik kerana ada keluarga besar. Adik-adik banyak membantu menjaga anak sewaktu saya bekerja.
“Faktor sokongan ekosistem asuhan seperti inilah yang banyak membantu meringankan beban,” katanya.
Sehubungan itu, Fadhlina menyatakan sokongan penuh terhadap Program Kasih Madani yang memberi latihan kepada pengasuh dalam komuniti.
Beliau menyifatkan usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama yang perlu bermula sejak peringkat asuhan dan diteruskan sehingga mereka memasuki alam persekolahan.
“Apabila kanak-kanak tahu mereka dilindungi, suara mereka didengari dan masyarakat mengambil berat kebajikan mereka, kita mampu melahirkan generasi yang luar biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina menyasarkan jumlah pengasuh yang menerima latihan menerusi program berkenaan ditingkatkan daripada 1,000 orang ketika ini kepada antara 2,000 hingga 5,000 pengasuh menjelang tahun depan.
Beliau turut menyeru lebih ramai wanita tampil menyokong agenda berkenaan bagi memperkukuh sistem sokongan komuniti, sekali gus bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kalau hari ini kita 1,000 pengasuh yang sudah pun dilatih, tahun depan kita nak tambah lagi 2,000, 3,000, 4,000, 5,000 supaya kami yang bekerja ini, yang puan-puan mengasuh anak kami ini, kita sama-sama dapat bangunkan negara ini,” katanya.
IMedikel TV






