Home Buletin Semasa PROGRAM “JOM BACA BUKU ANA MUSLIM” SEMARAKKAN BUDAYA MEMBACA DALAM KALANGAN MURID

PROGRAM “JOM BACA BUKU ANA MUSLIM” SEMARAKKAN BUDAYA MEMBACA DALAM KALANGAN MURID

265
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Budaya membaca wajar dipupuk sejak di bangku sekolah bagi melahirkan generasi berilmu, berfikiran positif dan berakhlak mulia.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tegayong, Azmi Sulaiman amalan membaca bukan sahaja membantu murid menambah pengetahuan, tetapi juga mampu membentuk sahsiah dan jati diri Muslim yang cintakan ilmu serta berdisiplin.

“Program seperti ini amat bermakna kerana ia bukan sekadar mendekatkan murid dengan dunia buku dan ilmu, malah membina akhlak serta nilai murni yang penting dalam kehidupan seharian,” katanya di sini, semalam.

Hadir sama Penolong Kanan Pentadbiran, Wan Abdullah Wan Ismail; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Noraini Ismail; Penolong Kanan Kokurikulum, Suhaimi Hussein; Guru Penyelaras NILAM, Kamariah Mohamad Noor; serta wakil Ana Muslim, Muhammad Aqlan Amin Abdullah dan Muhammad Izzuddin Yusuf.

Beliau berkata, antara objektif utama program berkenaan ialah memupuk minat membaca dalam kalangan murid sejak usia muda melalui bahan bacaan yang menarik dan sesuai dengan perkembangan mereka serta menggalakkan budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga sekolah.

“Selain itu membentuk akhlak dan sahsiah terpuji melalui pembacaan buku-buku berunsur Islamik dan nilai murni terbitan Ana Muslim, menjadikan aktiviti membaca sebagai amalan harian yang menyeronokkan dan bermanfaat serta meningkatkan kemahiran literasi dan pemikiran kreatif murid melalui aktiviti berkaitan bahan bacaan Ana Muslim,”katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Ana Muslim atas kerjasama dan inisiatif murni mereka dalam mendekatkan murid dengan bahan bacaan berunsur Islamik dan nilai moral yang tinggi.

Program ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja menggalakkan murid mendekati dunia buku dan ilmu, tetapi juga membina jati diri Muslim yang cintakan ilmu, berakhlak mulia dan berfikiran positif.

“Tahniah juga diucapkan kepada semua guru penyelaras NILAM, guru pembimbing, serta murid-murid yang telah mengambil bahagian dengan penuh semangat dan komitmen. Usaha anda semua amat dihargai dan diharap akan terus menyemarakkan budaya membaca sepanjang masa, bukan hanya dalam program seperti ini,”katanya.

Majlis turut diserikan dengan pengacara cilik berusia sembilan tahun, Nur Aisha Wafa Mohd Nathrullah,bersama guru pengiringnya, Noor Hayati Mohamed.

Program yang dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan Tegayong dengan kerjasama Ana Muslim itu diharap dapat menyemarakkan lagi budaya membaca dalam kalangan murid dan warga sekolah.

“Semoga kerjasama antara pihak sekolah dan Ana Muslim ini akan terus berkembang dalam usaha melahirkan generasi pembaca yang berilmu, beriman dan beramal,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here