Home Politik PRN SABAH: SHAH ALFIE GANTI SHAHELMEY DI TANJUNG KERAMAT

PRN SABAH: SHAH ALFIE GANTI SHAHELMEY DI TANJUNG KERAMAT

222
0

KOTA KINABALU: Adik Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, diberi kepercayaan untuk menggalas misi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Memetik laporan Berita Harian, Shah Alfie Yahya, 38, menggantikan abangnya selepas bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu membuat keputusan tidak bertanding, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Putatan.

Sebelum ini, Shahelmey berteka-teki apabila ditanya sama ada mahu bertanding atas tiket GRS bagi kerusi yang disandangnya sejak 2020 itu selepas UMNO Sabah enggan menamakannya berikutan penggantungan keahlian, selain didakwa mengkhianati parti.

Shahelmey sudah diberi laluan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk bertanding menggunakan logo GRS, namun bekas Menteri Kerja Raya Sabah itu tidak memberikan jawapan sehinggalah semalam apabila nama adiknya disebut sebagai calon GRS.

Sementara itu, Shah Alfie yang juga Setiausaha Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Tanjung Keramat menggariskan tiga misi utama untuk ditawarkan kepada pengundi kawasan itu.

Tiga misi itu katanya ialah usaha memperkasa golongan belia, memantapkan ekonomi setempat dan membudayakan keusahawanan.

Sebagai anak jati Tanjung Keramat, Shah Alfie berkata, beliau amat memahami keperluan penduduk, terutama golongan muda yang merangkumi kira-kira 60 peratus daripada jumlah pengundi.

Shah Alfie, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), berkata latar belakangnya dalam bidang perakaunan dan keusahawanan akan digunakan sepenuhnya untuk menjayakan misi berkenaan.

“Pengalaman saya sebagai Ahli Majlis Daerah Putatan, ditambah dengan peranan sebagai Pegawai Khas di Parlimen Putatan selama tiga tahun, memberi pendedahan mendalam mengenai struktur pentadbiran dan keperluan geopolitik serta ekonomi di daerah Putatan, khususnya Tanjung Keramat,” katanya.

Shah Alfie bakal berdepan Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamad yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Tanjung Keramat.

UMNO berhasrat untuk merampas kerusi berkenaan selepas Shahelmey sebelum ini ‘membawanya’ untuk bekerjasama dengan GRS setelah UMNO Sabah memutuskan kerjasama dengan gabungan itu dan hilang kepercayaan terhadap Hajiji sejak Januari 2023. – BH Online – IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here