Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MARANG: Polis menahan seorang lelaki dan merampas peralatan dan mesin jentera untuk melombong emas dengan anggaran nilai RM1.89 juta di sebuah lombong di Lubuk Terak Mukim Rusila, Marang, di sini, pada Selasa.
Menurut kenyataan, Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu berjaya menumpaskan kegiatan melombong emas secara haram itu pada jam 5 petang apabila memeriksa sebuah kawasan lombong tersebut dalam Op Bersepadu Khazanah, di sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati kegiatan melombong emas dilakukan seorang lelaki berumur 57 tahun dan suspek gagal menunjukkan lesen pelombongan yang sah.
“Kes disiasat di bawah Akta Enakmen Mineral Terengganu 2002 – Melombong tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri,”menurut kenyataan itu.
Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Terengganu untuk tindakan selanjutnya.
IMedikel TV






