Home Buletin Semasa POLIS RAMPAS 1.4 TAN DAUN KETUM

POLIS RAMPAS 1.4 TAN DAUN KETUM

184
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TANAH MERAH: Polis merampas sebanyak 1.4 tan daun ketum dalam sebuah van di kawasan tapak rumah dalam pembinaan di Jalan Baru Kampung Chedok, Bukit Bunga, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah, berkata rampasan itu dilakukan sepasukan anggota dari Balai Polis Bukit Bunga berdasarkan maklumat awam kira-kira jam 8 malam.

Menurutnya, semasa rondaan, pihak polis menemui sebuah van Toyota putih dalam keadaan mencurigakan yang diletakkan di kawasan tapak pembinaan berkenaan.

“Hasil pemerhatian melalui cermin hadapan mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik hitam di dalam kenderaan tersebut, disyaki mengandungi barang larangan.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan dengan membuka skru penyelak kunci di bahagian bonet belakang dan menemui sejumlah besar bungkusan plastik hitam yang disyaki mengandungi daun ketum dengan anggaran berat 1400kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Haki berkata, kenderaan bersama semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

“Pihak polis kini sedang mengenal pasti dan mengesan pemilik sebenar barang rampasan tersebut.

“Kerjasama orang ramai amat dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here