Home Buletin Semasa KELANTAN TEKAD PERJUANGKAN ROYALTI MINYAK SECARA DIPLOMATIK – TIMBALAN MB

KELANTAN TEKAD PERJUANGKAN ROYALTI MINYAK SECARA DIPLOMATIK – TIMBALAN MB

259
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: ”Kerajaan Kelantan akan terus memperjuangkan hak negeri terhadap royalti minyak secara diplomasi,”kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Menurut beliau, usaha secara mahkamah sudah dicuba sebelum ini, namun menghadapi cabaran besar dari segi masa yang panjang serta kos yang tinggi.

”Kita mahu memperjuangkan perkara itu secara diplomasi. Secara mahkamah kita sudah cuba, bukan kita kalah. Tetapi ia mengambil masa yang sangat lama dan walaupun tidak dibicarakan kosnya sangat tinggi.

”Jadi kita pertimbangkan janji Perdana Menteri masa itu untuk mempertimbangkan isu tuntutan royalti tersebut,”katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang supaya membawa pertikaian terhadap keabsahan Akta Wilayah Laut 2012 ke Mahkamah Persekutuan dalam usaha menuntut hak royalti petroleum bagi negeri ini selepas isu itu ditimbulkan semula dalam persidangan DUN.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bangkitkan mengenai isu terbabit kerana apa yang diperjuangkan adalah tuntutan royalti dan bukannya wang ehsan.

”Kita nak ubah wang ehsan kepada royalti. Royalti adalah hak kita, wang ehsan adalah hak orang. Royalti ini ada jumlah tertentu, wang ehsan pula bergantung kepada mereka yang beri.

“Tetapi perjuangan kita tetap nak royalti. Kalau kita sebagai kerajaan kita dapat wang ehsan, tidak mengapa sebab kita dapat duit kan? Tetapi kita mengkhianati rakyat sebab royalti adalah hak rakyat.

”Dan kita sebagai kerajaan, kita bekerja atas amanah rakyat, kita dipilih oleh rakyat untuk menjaga amanah rakyat,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here